KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) berjaya memperoleh tiga mata penuh selepas menewaskan Imigresen FC (IFC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
TFC yang turun sebagai pasukan pelawat memulakan permainan dengan garang apabila terus mengasak sebaik wisel permulaan dibunyikan, mencipta beberapa gerakan berbahaya bagi mencari jaringan pembukaan.
Usaha mereka berhasil seawal minit ke-10 apabila Raianderson Da Costa Morais menjaringkan gol pertama selepas menerima hantaran Muhammad Akhyar Rasid, sekali gus meletakkan TFC di hadapan dengan kelebihan satu gol.
Skuad Penyu kemudian memperlahankan rentak permainan, memberi peluang kepada IFC untuk melakukan serangan. Hasilnya, tujuh minit kemudian, penyerang import dari Brazil, Joao Pedro Borira Duarte, berjaya mengikat kedudukan menerusi hantaran dari Elvis Kamsoba di sebelah kanan padang, menewaskan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan asakan, namun TFC lebih mendominasi permainan. Raianderson sekali lagi menjadi wira pasukan apabila meledak gol kedua pada minit ke-64 menerusi tandukan dari jarak dekat.
TFC kemudian memperlebar kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin menjatuhkan pemain gantian Junior Stephen Ngong dalam kotak penalti. Penalti itu disempurnakan dengan mudah oleh Gabriel Silva Costa.
The Mighty Tigers menambah jaringan pada minit ke-87 apabila Muhamad Syafiq Danial Mohd Romzi tertolak masuk bola ketika cuba mengeluarkan hantaran Elvis Kamsoba.
IFC cuba membalas pada minit akhir, namun gagal menjaringkan gol dan keputusan kekal 3-2 hingga wisel penamat.
Di Stadium Bandaraya, George Town, Penang FC menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan PDRM FC 3-0, sekali gus mencatatkan kemenangan kedua dalam 11 perlawanan.
Semangat juang tinggi pemain Penang FC terserlah seawal minit awal permainan apabila mempamerkan corak permainan agresif dan mendominasi babak pertama.
Gol pembukaan dijaringkan penyerang import Australia, Dylan-Wenzel Halls, pada minit ke-23 hasil gerakan Tchetche Kipre yang menolak bola ke belakang sebelum disempurnakan Dylan.
Pada minit ke-30, PDRM FC terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Fadi Mahmoud Awad Salleh diarahkan keluar padang akibat kekasaran terhadap pemain tuan rumah.
Babak kedua menyaksikan Penang FC terus mendominasi dan menggandakan kedudukan pada minit ke-53 melalui Muhammad Firdaus Saiyadi yang menendang masuk bola selepas cubaan Dylan berjaya diselamatkan penjaga gol PDRM.
Malang terus menimpa PDRM FC apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah yang disempurnakan Dylan, meletakkan Penang FC selesa di depan 3-0 sehingga tamat permainan.
Di SARAWAK, Kuching City FC mempamerkan aksi dominan apabila membenam Melaka FC 4-0 di Stadium Negeri Sarawak, sekali gus menghadiahkan kemenangan bergaya di hadapan 3,053 penonton.
Skuad The Cats membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan pemain pertahanan James Okwousa, hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Ramadhan Saifullah.
Tekanan berterusan oleh tuan rumah untuk menembusi pertahanan pasukan pelawat membuahkan hasil jaringan kedua pada masa kecederaan babak pertama apabila Ahmad Danial Asri menanduk masuk hantaran tepat Petrus Shitembi.
Bersambung babak kedua, Kuching City mengekalkan momentum dan menambah jaringan ketiga pada minit ke-50 menerusi rembatan pemain kebangsaan Timor-Leste, Joao Pedro yang memanfaatkan ruang di sudut sukar selepas menerima hantaran Jimmy Raymond.
Kemenangan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak disahkan menerusi gol keempat pada minit ke-71 apabila Wanja Ronald Ngah dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Vitor Carvalho menepis bola menggunakan siku di dalam kotak penalti.
Keputusan 4-0 memihak Kuching City kekal sehingga wisel penamat.
-- BERNAMA
