PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Malaysian Press Institute (MPI) menyifatkan pembukaan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta bermula 1 Jan 2026 sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya dalam mempercepat transformasi industri media tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail berkata inisiatif berkenaan adalah komitmen serius kerajaan dalam memastikan ekosistem media negara kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan, selari dengan cabaran era digital serta kemajuan teknologi yang pesat khususnya kecerdasan buatan (AI).
“MPI melihat Dana Inovasi Media ini bukan sekadar sokongan kewangan tetapi satu pemangkin kepada inovasi dan peralihan media ke arah model kewartawanan yang lebih kreatif, berimpak dan berorientasikan teknologi.
“Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan insan, kemampanan dan daya saing nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ainol Amriz berkata penekanan dana terhadap latihan pekerja media, adaptasi teknologi, perisian, peralatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kandungan adalah selari dengan keperluan sebenar industri ketika ini, khususnya dalam mendepani perubahan landskap media, tingkah laku khalayak dan keperluan kandungan digital.
“MPI berpandangan aspek pembangunan kompetensi wartawan dan pengamal media melalui latihan berstruktur adalah kunci utama kejayaan transformasi industri.
“Media masa kini bukan sahaja perlu pantas tetapi juga berfakta, beretika dan mampu memanfaatkan teknologi baharu seperti automasi, analitik data serta platform digital secara bertanggungjawab,” katanya.
Ainol Amriz turut menyifatkan syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta pemilikan Kad Perakuan Media aktif sebagai langkah penting bagi memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan memberi manfaat kepada organisasi media yang benar-benar komited terhadap profesionalisme.
Beliau berkata MPI bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan pihak berkepentingan lain dalam menyokong pelaksanaan Dana Inovasi Media, khususnya melalui peranan majlis itu sebagai institusi latihan profesional dalam memperkukuh kapasiti, kemahiran dan kesiapsiagaan pengamal media menghadapi masa depan industri.
“Usaha ini wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara terhadap industri media yang berperanan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat, membentuk wacana awam serta menyokong pembangunan negara dalam ekosistem digital yang semakin kompleks,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Dana Inovasi Media bagi Fasa 1 akan dibuka bermula dari 1 hingga 14 Jan 2026 bertujuan menyokong transformasi industri media negara agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital.
Fahmi berkata dana itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 berhubung pemberian bantuan dana berjumlah RM30 juta.
-- BERNAMA
