KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol menzahirkan rasa bangga dan gembira atas kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand selepas berjaya mencapai sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.
Beliau berkata kejayaan itu menjadi suntikan semangat untuk terus memperkukuh pembangunan sukan negara dan bersedia memikul tanggungjawab di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memacu kecemerlangan sukan, khususnya menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.
“Sudah tentu itu adalah tanggungjawab saya sebagai orang baharu dalam KBS.
“Jadi, kami akan pikul tanggungjawab itu dengan penuh amanah,” katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan atlet Sukan SEA 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Setakat 10 malam ini, Malaysia berjaya mengutip 56 emas, 57 perak dan 116 gangsa menjadikan keseluruhan 229 pingat.
Ini adalah kutipan terbanyak kontinjen negara pada temasya Sukan SEA di luar Kuala Lumpur sejak edisi Korat, Thailand 2007.
-- BERNAMA
