ANKARA/WASHINGTON, Dis 20 (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu operasi ketenteraan di Syria sebagai tindak balas terhadap serangan maut pada 13 Dis terhadap tentera negara itu di Palmyra, umum Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Awal hari ini, tentera AS telah memulakan Operasi Hawkeye Strike (Operation Hawkeye Strike) di Syria bagi menghapuskan anggota Daesh, infrastruktur serta tapak senjata kumpulan pengganas itu,” tulis Hegseth di platform media sosial AS, X.
Operasi itu disifatkan sebagai tindak balas langsung terhadap serangan yang menyasarkan tentera Amerika yang ditempatkan di timur Syria.
“Ini bukan permulaan perang - ia merupakan "satu bentuk tindak balas",” kata Hegseth sambil menambah bahawa AS “tidak akan teragak-agak dan tidak akan berundur dalam mempertahankan rakyatnya.”
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump berkata serangan itu merupakan “tindak balas yang sangat serius” dan menepati janji beliau untuk bertindak balas.
“Kami menyerang dengan sangat hebat terhadap kubu kuat Daesh di Syria,” tulisnya di platform Truth Social.
Beliau berkata kerajaan Syria “memberi sokongan penuh” terhadap operasi itu dan merujuk pemimpin Syria sebagai “seorang lelaki yang sedang berusaha keras untuk mengembalikan kegemilangan ke Syria.”
Lokasi sebenar, jumlah korban atau butiran operasi lain mengenai serangan AS itu tidak didedahkan.
Serangan maut awal bulan ini oleh anggota kumpulan pengganas Daesh di tengah Syria mengorbankan dua anggota tentera AS dan seorang orang awam.
-- BERNAMA-ANADOLU
