AM

EMPAT KALI DILANDA BANJIR, UNIPSAS BANGKIT DEMI PENDIDIKAN

20/12/2025 02:37 PM

KUANTAN, 20 Dis (Bernama) -- Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di sini telah dilanda banjir empat kali sepanjang beroperasi, namun ujian itu tidak melemahkan komitmen warga universiti untuk bangkit demi kelangsungan pendidikan.

Kemusnahan infrastruktur, peralatan dan perabot akibat bencana itu melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit. 

Bagaimanapun, Pendaftar UniPSAS Mohd Faizul Abdul Hadi Nor berkata pihak pengurusan universiti mengambil langkah proaktif melaksanakan kerja pemulihan secara berperingkat sebaik sahaja banjir pulih. 

Beliau berkata pengalaman berdepan bencana banjir berulang kali mendorong UniPSAS untuk memperkukuh perancangan pengurusan risiko dan kesiapsiagaan bencana pada masa hadapan.

“Universiti terjejas banjir pada 2003, 2014, 2021 dan terbaharu minggu ini yang menenggelamkan keseluruhan UniPSAS dengan nilai kerosakan setiap kali bencana lebih RM500,000 hingga RM1 juta. 

“Namun, apa yang penting ialah kami pulihkan keadaan segera mungkin supaya warga universiti dapat bekerja dan belajar dalam keadaan selesa,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di UniPSAS hari ini.

Mohd Faizul berkata masalah sistem pengaliran dari kawasan perumahan berhampiran dipercayai punca banjir di pusat pengajian itu. 

Sementara itu, beliau berkata buat masa ini kesemua penuntut dibenarkan pulang dan menjalani pengajian secara dalam talian sebelum kembali ke kampus pada Februari depan.

Menyentuh mengenai kerja pembersihan, Mohd Faizul berkata mereka berterima kasih kerana turut mendapat bantuan antaranya daripada sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Kerja pembersihan bermula semalam dan dibantu sukarelawan hari ini yang dibahagikan kepada 15 zon supaya teratur dan cepat,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan 135 pelajar UniPSAS yang menetap di asrama terpaksa dipindahkan selepas kawasan terbabit dilanda banjir akibat hujan berterusan beberapa hari.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan