SIBU, 20 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melaksanakan OPS Khas Krismas selama sepuluh hari bermula semalam bagi memastikan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres sampai ke destinasi dengan selamat.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata tiga hari sebelum operasi bermula pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di Kuching, Sibu dan Miri melibatkan aspek teknikal termasuk sistem brek dan tayar serta tali pinggang keledar di tempat duduk pemandu serta penumpang.
“Pemeriksaan ini penting bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin, terutamanya ketika peningkatan pergerakan sempena musim perayaan,” katanya pada Peluncuran OPS Khas Krismas di Terminal Bas Sibu di sini hari ini.
Beliau berkata operasi itu memberi fokus kepada kawasan kerap berlaku kemalangan, namun pada tahun ini penekanan utama diberikan kepada pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di Sarawak.
Sementara itu, Norizan berkata JPJ Sarawak turut menjalinkan kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mewajibkan semua pemandu bas menjalani ujian air kencing sepanjang tempoh operasi.
“Sekiranya didapati positif, pemandu itu akan digantikan serta-merta oleh syarikat pengendali. Kerajaan serius dalam menjaga keselamatan dan nyawa penumpang bas,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai, khususnya penumpang bas supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan pemandu memandu secara berbahaya, menggunakan telefon bimbit atau memandu melebihi had laju.
-- BERNAMA
