IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam sungai berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kanan, Parit semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mayat mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan masih berada di dalam kereta berkenaan yang terjunam ke dalam sungai itu pada 2.10 petang tadi.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada 11.13 malam tadi dan menggerakkan 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit.
“Operasi mencari dan menyelamat disambung pada 8 pagi hari ini bersama dengan pihak polis menggunakan bot bomba dan polis serta bantuan orang kampung.
“Operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan bot sejauh 100 meter dari jeti, dari tempat kereta mangsa jatuh, menuju ke hilir sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazlean berkata anggota berjaya mengesan kedudukan lokasi kereta terbabit pada jarak lebih kurang 20 meter.
“Setelah pihak polis selesai membuat penyiasatan, anggota membantu mengeluarkan mayat mangsa dan menyerahkannya pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dan menambah operasi yang melibatkan 11 anggota bomba, 10 anggota polis serta kira-kira 15 penduduk kampung itu ditamatkan pada 3.30 petang.
-- BERNAMA
