AM

NADI ON WHEELS TINGKAT AKSES INTERNET MANGSA BANJIR DI PPS

20/12/2025 09:34 PM

KUANTAN, 20 Dis (Bernama) -- Pusat khidmat bergerak NADI on Wheels (NOW) yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol di sini membantu meningkatkan akses Internet bagi memenuhi keperluan mangsa banjir. 

NOW digerakkan ke PPS itu menerusi inisiatif Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). 

MCMC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan antara perkhidmatan disediakan di PPS tersebut ialah kemudahan Internet percuma, saringan kesihatan asas serta aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.

“Bermula semalam, perkhidmatan NOW telah digerakkan ke PPS SK Bukit Setongkol bagi membantu mangsa banjir, khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti,” menurut kenyataan itu. 

Dilengkapi dengan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta kemudahan wi-fi percuma, NOW berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.

MCMC memaklumkan pendekatan itu memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas.

NOW merupakan inisiatif di bawah MCMC yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian Internet serta sokongan kepada komuniti secara terus di lapangan, terutamanya kepada golongan rentan, pedalaman dan lokasi terkesan bencana.

Sementara itu, mangsa banjir R. Sivaranjini, 30, yang menetap di Cenderawasih di sini semasa ditemui Bernama berkata inisiatif NOW melancarkan komunikasinya bersama suami yang bekerja di Singapura. 

“Setiap hari saya membuat panggilan video dengan suami untuk memaklumkan keadaan kami dan terdapat gangguan Internet mungkin kerana ramai di PPS serta menggunakannya serentak, tetapi selepas ada NOW semalam (panggilan) lancar dan tidak tersekat lagi,” katanya. 

Pelajar Muhammad Aidil Izham Shahrom, 15, berkata kemudahan itu memberikan capaian Internet lebih pantas dan keselesaan kepada pengguna. 

“Internet yang stabil memudahkan kami mendapatkan informasi terkini mengenai banjir selain melayari permainan dalam talian,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan