AM

MELAKA BANGUNKAN KAMPUNG DIGITAL 2.0, MUDAHKAN PENGURUSAN DAN RAKYAT

21/12/2025 11:09 AM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

MELAKA, 21 Dis (Bernama) -- Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri Melaka sedang membangunkan Sistem Kampung Digital Melaka (KDM) 2.0 bagi mengoptimumkan penggunaan data Kampung Digital secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli berkata sistem KDM 2.0 itu akan diintegrasikan dengan pelbagai sistem agensi kerajaan bagi memudahkan pengurusan berkaitan kampung secara lebih cekap dan berkesan.

“Di peringkat awal, integrasi data akan memfokuskan kepada sektor kebajikan khususnya daripada segi data penerima bantuan sebelum diperluaskan kepada sektor keselamatan, utiliti, perkhidmatan, pembangunan serta sektor berkaitan yang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Saiful Hazwa berkata sistem ini turut menyokong penyediaan dan pelaksanaan dasar pemodenan kampung yang diiktiraf di peringkat nasional, termasuk pembangunan dan penaiktarafan pusat data negeri dan negara, khususnya melibatkan integrasi bantuan serta keselamatan.

Beliau berkata menerusi KDM 2.0, proses pendaftaran serta pengemaskinian pertambahan atau pengurangan penghuni sesebuah rumah boleh dilakukan secara dalam talian oleh ketua isi rumah atau penghuni itu sendiri.

Beliau berkata sistem itu membenarkan penghuni membuat pernyataan dan pengesahan status kediaman termasuk sebagai pemilik rumah, penyewa atau penumpang dengan setiap kemas kini direkodkan dalam sistem bagi tujuan rujukan dan pengesahan oleh pihak berkuasa.

“Pejabat Daerah dan Tanah juga mempunyai autoriti untuk mengemas kini maklumat isi rumah dalam KDM 2.0 berdasarkan maklumat dan pengesahan yang diperoleh daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan ketepatan data serta keselarasan dengan rekod pentadbiran di peringkat daerah,” katanya.

Saiful Hazwa berkata projek itu adalah cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang diumumkan pada 7 April 2023 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Negeri Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata inisiatif itu diwujudkan bagi menangani isu ketiadaan alamat rumah yang jelas, sistematik dan berstruktur dalam kalangan penduduk kampung, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini sukar dikenal pasti oleh perkhidmatan kecemasan, penghantaran dan agensi berkaitan.

Menurut Saiful Hazwa, setiap rumah dan bangunan terlibat dalam projek Kampung Digital dikenal pasti melalui proses cerapan premis yang berada di dalam sempadan kawasan kampung yang telah ditetapkan.

“Persempadanan kampung berada di bawah bidang kuasa pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah dan proses ini dilaksanakan secara bersama antara UPEN, pentadbiran daerah serta agensi teknikal seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan PLANMalaysia.

“Penentuan sempadan kampung turut mengambil kira maklum balas penduduk yang disalurkan melalui Pengerusi JPKK sebelum disahkan oleh penghulu,” katanya.

Saiful Hazwa berkata pendaftaran rumah penduduk hanya dilakukan selepas kerja cerapan rumah selesai sepenuhnya, dengan data itu dipetakan menggunakan perisian ArcGIS iaitu platform Sistem Maklumat Geografi.

Beliau berkata setiap rumah akan diberikan nombor rumah berdasarkan nombor rizab yang ditetapkan selepas pengesahan sempadan kampung, sebelum alamat lengkap dijana dan dimasukkan ke dalam sistem Kampung Digital untuk menghasilkan pelekat dengan nombor rumah dan kod QR unik.

Menurut Saiful Hazwa, setiap rumah juga diberikan koordinat geografi melalui perisian ArcGIS yang kemudian diintegrasikan dengan aplikasi seperti Google Maps dan Waze bagi membolehkan lokasi dikesan dengan lebih tepat untuk memudahkan penghantaran barangan, perkhidmatan kecemasan, lawatan agensi kerajaan serta urusan harian penduduk.

Sehingga November 2025, beliau berkata sebanyak 72,394 rumah dan 6,277 penduduk telah didaftarkan di bawah pelaksanaan projek Kampung Digital di seluruh Melaka.

Beliau berkata pembangunan sistem KDM 2.0 dijangka menjadi pemangkin kepada pengurusan kampung berasaskan data, sekali gus menyokong aspirasi Melaka ke arah negeri pintar dan pentadbiran digital yang lebih inklusif serta berkesan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan