EKONOMI

2025 MENYAKSIKAN KEMAJUAN DALAM PROJEK-PROJEK REL MALAYSIA

21/12/2025 10:59 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

 KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Pembangunan rel Malaysia mencatatkan kemajuan yang ketara sepanjang 2025, ditandai dengan pencapaian utama dalam projek mega negara, cita-cita rentas sempadan yang diperbaharui dan perancangan yang lebih hebat untuk ketersambungan pengangkutan jangka panjang.

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) muncul sebagai salah satu prestasi yang paling cemerlang tahun ini selepas mencapai 88.08 peratus siap setakat 4 Nov, berikutan penyiapan segmen C1B, pakej kerja-kerja awam penuh pertama yang bermula dari Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak.

Kerja-kerja untuk regangan itu, yang bermula pada September 2022 merangkumi Terowong Gombak, dua jambatan utama termasuk kerja-kerja subgred yang meluas, membentuk saluran terpenting antara jajaran timur dan barat laluan tersebut.

ECRL juga menarik minat antarabangsa. Dalam temu bual 15 Mei dengan Bernama, Thailand berminat  untuk melihat laluan itu disambungkan daripada Kota Bharu ke sempadan Sungai Golok, yang mana, menurut Duta Thailand, Lada Phumas ianya boleh menyokong aspirasi Rangkaian Kereta Api Pan-Asia yang lebih meluas.

Inisiatif rel kebangsaan Malaysia yang lain adalah Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura yang masih dalam penilaian setakat 7 Okt.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya dan agensi berkaitan sedang memuktamadkan parameter utama dalam menentukan model paling berdaya maju bagi projek yang diterajui sektor swasta itu sebelum diteruskan ke peringkat permintaan untuk cadangan.

Loke mengulangi bahawa HSR akan diteruskan hanya melalui pelaburan swasta, tanpa pembiayaan secara langsung oleh kerajaan.

Rangkaian rel bandar juga mencapai kemajuan, selepas Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berada di landasan untuk memulakan operasi menjelang 31 Dis, sementara menunggu ujian kebolehpercayaan dan keselamatan terakhir.

Skop projek yang dipulihkan itu menelan kos RM21.93 bilion, naik sebanyak RM5.3 bilion berbanding RM16.63 bilion semakan kos yang diluluskan pada 2018 tetapi masih di bawah peruntukan asal berjumlah RM31.65 bilion.

 

Pembangunan Rel berfokus Negeri

 

Johor telah memperbaharui gesaan untuk kelulusan persekutuan bagi cadangan sistem rel domestiknya, dengan alasan sebagai keperluan untuk menyokong jumlah penumpang sebaik sahaja pautan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura dibuka pada 2027.

Penghantar ulang-alik sepanjang 4.0 kilometer (km), yang direka bagi membawa sehingga 10,000 penumpang sejam, dijangka akan menyalurkan jumlah penumpang yang besar ke ke stesen Bukit Changar

Negeri tersebut agak terbuka kepada cadangan sama ada sistem Pengangkutan Pantas Automatik atau LRT, tetapi menegaskan bahawa keputusan perlu dibuat dan pelaksanaan mesti dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pulau Pinang turut mempunyai agenda dalam memajukan rangkaian pengangkutannya. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa pembinaan LRT Laluan Mutiara akan diteruskan seperti yang dijadualkan menjelang Januari tahun depan. Ia disasarkan siap pada Disember 2031.

Sementara itu, projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru telah siap dan akan diserahkan kepada kerajaan pada 11 Dis 2025.

Jaluran sepanjang 182 km yang menelan belanja RM8.9 bilion, menyambungkan Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru telah dibuka secara berperingkat untuk ujian sejak Mac. 

Projek nasional berskala besar ini telah direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara tiga entiti utama iaitu Kementerian Pengangkutan sebagai peneraju dasar, Keretapi Tanah Melayu Bhd sebagai pengendali perkhidmatan rel dan Perbadanan Aset Keretapi sebagai pemilik aset serta pemacu pembangunan bersepadu.

 

 

Inisiatif Jalan dan Rel Borneo 

 

Di Borneo, pembangunan rel telah pun memasuki fasa perancangan strategik. Kajian kebolehlaksanaan selama 12 bulan untuk cadangan Kereta Api Trans-Borneo, menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan telah bermula pada Jun 2025. Ia akan disimpulkan menjelang suku ketiga 2026.

Menelan belanja sebanyak RM7.0 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kajian itu meliputi komponen teknikal, komersial, sosio-ekonomi, operasi dan tadbir urus. Ia akan memuncak dalam garis masa pelaksanaan yang dicadangkan.

Rangkaian jalan raya utama juga menyaksikan kemajuan khususnya Lebuhraya Pan Borneo, yang membentang lebih 2,000 km merentasi Sabah, Sarawak dan Brunei.

Di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo telah hampir siap, ia mencatatkan kemajuan 99.97 peratus setakat Ogos 2025. Kebanyakan bahagian sudah dibuka kepada lalu lintas.

Sehingga Oktober 2025, kemajuan keseluruhan pembinaan Sabah untuk Fasa 1A berada pada 85.25 peratus daripada 93.96 peratus yang dijadualkan. Fasa 1B, yang bermula baru-baru ini, mencatatkan kemajuan 9.49 peratus berbanding sasaran 13.14 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Oktober lepas menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mengukuhkan ketersambungan rel negara melalui pelaksanaan beberapa projek strategik di seluruh Malaysia.

"Pergerakan rakyat bukan sekadar mengenai infrastruktur fizikal. Ia adalah nadi yang memacu ekonomi dan mata pencarian rakyat. Daripada kawasan pedalaman terpencil sehingga ke bandar-bandar besar, sistem pengangkutan awam dan jalan raya perlu cekap, selamat dan berhubung," kata perdana menteri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan