KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100MIYE) yang memasuki tahun ke-10 penganjuran pada 2025 menyaksikan penganjur menerima lebih 1,300 pencalonan dengan hanya 100 calon terbaik dipilih untuk menerima pengiktirafan berprestij itu.
Majlis tahun ini yang dianjurkan majalah Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Group Bhd mengangkat tema Reimagine selari dengan aspirasi penganjur untuk menyuntik keyakinan dalam kalangan usahawan muda supaya kekal positif, meninggalkan pemikiran lama serta berani meneroka pendekatan dan pemikiran baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur 100MIYE Datuk KK Chua berkata dunia perniagaan dan keusahawanan masa kini menuntut individu yang benar-benar rajin serta sanggup menghadapi segala cabaran untuk mencapai kejayaan dalam persekitaran yang kompetitif.
“Usahawan perlu melalui pelbagai proses yang akhirnya membantu mereka menjadi lebih matang dalam aspek pengurusan dan pembuatan keputusan. Selaras dengan maksud Reimagine, ia menggalakkan seseorang melihat kehidupan dan perniagaan dari perspektif lebih segar, relevan dan berani.
“Ia bukan sekadar menambah baik apa yang sudah ada sebaliknya mempersiapkan diri untuk membentuk idea lebih kukuh, sentiasa mencari dan mencipta peluang baharu sehingga mampu melangkah ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini.
Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur, semalam.
Chua berkata turun naik dalam dunia perniagaan wajar dijadikan medium pembelajaran untuk terus berkembang selain perlu berani mencuba idea baharu, dengan beliau juga menekankan kepentingan kepimpinan ketua organisasi untuk bekerjasama rapat dengan pekerja melalui gabungan tenaga dan idea.
“Kami berasa amat bangga dengan 100 penerima anugerah kerana mereka telah melalui perjalanan panjang dalam dunia keusahawanan, menunjukkan keazaman tinggi untuk berjaya dan sememangnya layak diraikan melalui pengiktirafan seperti ini,” katanya.
Selain itu, penganjur juga mengumumkan pencalonan bagi Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2026 kini dibuka dengan orang ramai dan usahawan berminat boleh melayari laman sesawang rasmi www.entrepreneurinsight.com.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
