BUTTERWORTH, 21 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) kekal setia dan tidak pernah goyah sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa gabungan itu berniat untuk menekan atau menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, BN kekal konsisten mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berperanan sebagai rakan strategik yang melengkapkan agenda pentadbiran negara.
“BN tidak pernah mengugut, tidak pernah goyah, malah tetap setia sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan. Jangan risau soal taat setia BN kepada Kerajaan Perpaduan.
“Kalau orang mahu jumpa kita, kita jumpa orang itu, ia tidak semestinya kita buat keputusan untuk tebuk atap untuk menjatuhkan. BN tetap setia. Sekali setia, tetap setia,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R S Thanenthiran.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa kesetiaan menjadi tonggak utama dalam sesebuah organisasi politik, terutama dalam gabungan besar seperti BN yang berdepan pelbagai ujian sejak sekian lama.
“Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi kesetiaan tidak boleh digugat. Kita diuji ketika menang dengan kuasa dan diuji ketika kalah dengan kesetiaan. Jika seseorang pemimpin tidak setia, jangan harap dia akan mendapat kesetiaan daripada ahlinya,” katanya.
Justeru itu, Presiden UMNO itu berkata BN menghargai kesetiaan parti-parti komponen dan parti bersekutu yang terus bersama gabungan itu walaupun berdepan tekanan dan cabaran politik.
Mengulas pelaksanaan dasar kerajaan, Ahmad Zahid berkata BN mahu memastikan segala janji yang terkandung dalam manifesto parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan bahawa satu permukiman melibatkan menteri, timbalan menteri serta kepimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 10 dan 11 Januari depan bagi menilai tahap pelaksanaan manifesto.
“Kita mahu melihat sejauh mana manifesto BN, Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun pertama ini kerana dijanjikan (dalam manifesto) mesti dilaksanakan, bukan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata permukiman itu bertujuan mencari titik persamaan antara manifesto gabungan, khususnya berkaitan kos sara hidup, pengangguran, pendidikan dan keselamatan, serta mengenal pasti perkara yang masih belum ditunaikan.
-- BERNAMA
