JENAYAH & MAHKAMAH

BAYI LELAKI DITEMUKAN DI TAMAN AWAM TELUK LIKAS

21/12/2025 03:14 PM

KOTA KINABALU, 21 Dis (Bernama) -- Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di Taman Awam Teluk Likas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata polis menerima laporan daripada orang awam dan bayi itu dipercayai dilahirkan beberapa jam sebelum ditemukan pada 6.30 pagi.

“Bayi itu selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Hospital Likas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kasim berkata penemuan bayi itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Beliau berkata pemeriksaan mendapati tiada saksi melihat kejadian mahupun kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

Siasatan termasuk mengesan individu terlibat giat dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Mejar Rosmah Pg Hasim menerusi talian 011-31677612.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan