KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Indeks Sentimen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkat kepada 56.8 pada separuh kedua 2025 (2H 2025) berbanding 55.1 pada separuh pertama 2025 (1H 2025), mencerminkan momentum ekonomi yang lebih kukuh serta peningkatan tahap keyakinan merentasi landskap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menurut SME Bank, peningkatan indeks tersebut didorong oleh jangkaan yang lebih baik terhadap keadaan ekonomi, prospek jualan, aktiviti pengembangan serta guna tenaga, meskipun berdepan tekanan luaran yang masih tinggi.
Dalam satu kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemangku SME Bank Samad Majid Zain berkata PMKS di Malaysia terus menunjukkan daya tahan, disokong oleh asas ekonomi yang lebih kukuh serta peluang pertumbuhan.
“Kenaikan indeks sentimen, dengan 68 peratus responden menjangkakan jualan lebih tinggi dan 53 peratus merancang untuk menambah tenaga kerja, mencerminkan persekitaran operasi yang lebih positif walaupun komuniti perniagaan sedang menyesuaikan diri dengan tarif import luaran yang lebih tinggi, peluasan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan serta pelarasan kos elektrik.
“Tahap keyakinan tertinggi direkodkan dalam segmen pembuatan, dengan sehingga 89 peratus perniagaan menjangkakan pertumbuhan. Trend ini menunjukkan bahawa PMKS sedang bersedia menghadapi peningkatan permintaan serta aktiviti pelaburan yang kembali rancak,” katanya.
Beliau berkata bank itu akan terus menyokong PMKS dalam memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan produktiviti serta mempertingkat daya saing seiring Malaysia melangkah ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sementara itu, Ketua Analisis Ekonomi SME Bank Mazlina Abdul Rahman berkata sebanyak 58 peratus daripada perusahaan menjangkakan ekonomi akan berkembang.
"Perusahaan mikro adalah yang paling optimis, dengan 65 peratus menjangkakan pertumbuhan, manakala yarikat perusahaan sederhana 44 peratus, mencerminkan kesan peningkatas kos dan ketidaktentuan persekitaran luaran," katanya.
Beliau turut berkata keadaan kecairan bertambah baik, dengan peratusan PMKS yang mempunyai rizab kurang daripada enam bulan menurun kepada 31 peratus daripada 34 peratus, manakala mereka yang mempunyai rizab melebihi tiga tahun meningkat kepada 15 peratus.
“Permintaan terhadap pembiayaan kekal tinggi, dengan 81 peratus responden merancang untuk mendapatkan pembiayaan bagi modal kerja atau tujuan pengembangan,” katanya.
Tinjauan Indeks Sentimen PKS ini dijalankan antara Julai hingga Oktober 2025, melibatkan 1,971 usahawan dan pemilik perniagaan merentasi 40 sektor serta semua saiz perniagaan, dan menjadi rujukan utama dalam menilai hala tuju ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
