AM

OPERASI ADVOKASI POLIS SARAWAK BERJALAN SEIRING KESIAPSIAGAAN HADAPI MTL

22/12/2025 07:01 PM

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Penglibatan 700 anggota dan pegawai polis kontinjen Sarawak dalam program advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya menjelang perayaan Krismas yang berlangsung selama enam hari bermula esok tidak menjejaskan persiapan pasukan itu menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata perancangan awal yang rapi membolehkan penugasan anggota diagihkan secara berperingkat tanpa menjejaskan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana, khususnya di kawasan berisiko.

“Penugasan program advokasi dan program lain tidak mengganggu persediaan menghadapi MTL kerana perancangan telah dibuat lebih awal berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini,” katanya selepas menghadiri program mengedar topi keledar percuma sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penunggang motosikal di sini hari ini.

Saifullizan berkata bagi menghadapi MTL, kesemua petugas yang ditugaskan kekal berada dalam keadaan siap siaga, termasuk dari segi logistik, pemantauan kawasan berisiko banjir serta kerjasama dengan agensi berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan setakat ini keadaan di Sarawak masih terkawal dan tiada kawasan dilaporkan dinaiki air, dengan pihak polis terus memantau situasi, terutama di kawasan kerap berlaku banjir.

Sementara itu, Saifullizan berkata kes kemalangan maut di negeri itu meningkat 19 kes dengan 348 kes direkodkan setakat Januari hingga November tahun ini berbanding tahun lepas, sepanjang tempoh sama.

“Punca-punca kemalangan tertinggi, iaitu 80 peratus akibat kecuaian dan pemandu sendiri diikuti pertambahan jumlah kenderaan sebanyak 30 peratus dan faktor cuaca, jalan serta bentuk muka bumi sebanyak lima peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan