KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Filipina bersedia untuk berperanan sebagai pemudah cara atau pengantara antara Kemboja dan Thailand sebaik sahaja ia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada Januari 2026, menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina pada Isnin.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Luar, Menteri-Menteri Luar ASEAN telah bermesyuarat pada Isnin di Kuala Lumpur atas jemputan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi membincangkan situasi sempadan antara Kemboja dan Thailand.
Filipina diwakili oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar, Theresa P. Lazaro.
“Susulan perbincangan hari ini, Filipina menyatakan kesediaannya untuk menggalas peranan sebagai pemudah cara atau pengantara antara Kemboja dan Thailand sekiranya kedua-dua pihak memutuskan untuk menggunakan jasa baik Pengerusi selepas Filipina memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada Januari 2026,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN itu diadakan susulan keputusan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada 11 Dis lalu.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan mesyuarat itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Menteri-menteri luar lain yang hadir pada mesyuarat itu termasuk Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura) dan Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste).
Hadir sama Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof manakala Vietnam diwakili Timbalan Menteri Luar Dang Hoang Giang, sementara pegawai Myanmar menyertai mesyuarat itu secara maya.
-- BERNAMA
