KOTA BHARU, 22 Dis (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup beras import selepas merampas 13.5 tan beras di kawasan Sungai Golok, Tumpat, semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Taring Landai/Op Taring Gelora yang dijalankan pasukannya.
Beliau berkata operasi itu melibatkan dua bot ronda yang sedang melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab sebelum pasukan bertindak menyerbu sebuah pangkalan haram di Nibong sekitar 6 petang, hasil maklumat risikan.
“Hasil serbuan mendapati tiga buah lori ditinggalkan tanpa pemandu dan dipercayai ditinggalkan secara tergesa-gesa selepas suspek menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori berkenaan menemukan 270 guni beras import, masing-masing seberat 0.05 tan (50 kilogram), yang disyaki baru dibawa masuk dari negara jiran namun tiada individu datang menuntut beras tersebut walaupun pasukan menunggu hampir 45 minit di lokasi.
Zulafendy berkata kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan tiga lori bernilai kira-kira RM450,000 turut disita.
Sementara beras import seberat 13.5 tan bernilai RM54,000 itu diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kejayaan tersebut merupakan kes kesembilan melibatkan kesalahan beras import yang direkodkan oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga sepanjang tahun ini, dengan jumlah keseluruhan rampasan sejak Januari mencecah 41 tan bernilai kira-kira RM1.4 juta.
Pihaknya turut menegaskan bahawa PPM akan terus memperhebat penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.
-- BERNAMA
