BAGAN DATUK, 23 Dis (Bernama) -- Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini agar setanding dengan sistem pendidikan arus perdana.
Pelaksanaan SPTM bertujuan memperkasakan kualiti pendidikan tahfiz serta menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz, sekali gus menjadikan pengiktirafan itu bukan sekadar penghormatan, malah pemangkin kecemerlangan dalam mempelajari dan menghafaz al-Quran.
Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan SPTM di hadapan lebih 25,000 huffaz dari seluruh negara dalam satu majlis penuh barakah, Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani” di Masjid Tuminah Hamidi di sini.
Dalam ucapan perasmian, beliau antara lain berkata sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan, 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM akan diberikan insentif RM50,000 setiap satu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berkata SPTM telah dibangunkan pada 2020 sebagai mekanisme penilaian dan pengiktirafan kepada penghafaz al-Quran dan institusi tahfiz.
Beliau berkata SPTM telah dibentangkan kali pertama semasa Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) kali ke-54 pada 12 Julai 2021.
Instrumen Kriteria Standard pula telah dibangunkan pada 2022 dan dibentangkan dalam Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan kali ke-56 pada 20 Mei 2022, dan Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan kali ke- 57 pada 5 Okt tahun sama.
“Program Rintis Pengujian Instrumen Penilaian Berdasarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia juga telah dilaksanakan di institusi Tahfiz di Selangor dan Johor pada 2023.
“Pada Januari tahun ini, JAKIM telah membuat edaran e-Book SPTM kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) dan dipanjangkan kepada semua institusi di bawah negeri masing-masing,” katanya.
Sirajuddin berkata kawalan kualiti dalam pendidikan tahfiz penting bagi membawa perubahan gaya pengurusan kerana penambahbaikan sentiasa dilaksanakan bagi mencapai standard ditetapkan.
Beliau berkata mekanisme standard pengiktirafan ini juga penting untuk menggalakkan institusi tahfiz berdaftar dengan PBAN dan JAKIM sentiasa komited untuk bersama-sama dengan PBAN bagi memastikan usaha ke arah memperkasakan pendidikan tahfiz seiring dengan pendidikan arus perdana.
“SPTM ialah gabungan buah fikiran antara para cendekiawan, pakar serta pengamal pendidikan agama yang telah mengabdikan masa dan tenaga mereka dalam menghasilkan sebuah panduan komprehensif dan berkualiti tinggi bagi pengiktirafan tahfiz al-Quran di Malaysia,” katanya.
Berhubung pelaksanaan SPTM tahun hadapan, beliau berkata lima negeri telah mendapat kelulusan pelaksanaan SPTM iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak manakala sembilan negeri masih dalam tindakan iaitu Terengganu, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Johor dan Kelantan.
Selain itu, sebanyak tiga siri bengkel Training of Trainee (ToT) telah dilaksanakan tahun ini melibatkan semua PBAN.
“Objektif bengkel ini ialah memberi kefahaman dan latihan secara langsung di lapangan kepada pegawai nazir institusi tahfiz berdasarkan standard yang telah ditetapkan dengan bimbingan fasilitator berpengalaman.
“Pelaksanaan SPTM akan dilaksanakan melalui beberapa peringkat penilaian iaitu Audit Kendiri oleh negeri dan kemudian setiap negeri mengemukakan dua buah institusi tahfiz terbaik untuk dinilai oleh panel penilai di bawah Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz (JAT).
“10 institusi terbaik yang mencapai standard akan dianugerahkan pengiktirafan/penarafan di peringkat nasional,” katanya.
-- BERNAMA
