KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Shopee Malaysia merekodkan pembelian tertinggi dalam kategori rumah dan kehidupan menerusi Shopee 12.12 Jualan Hari Jadi, sekali gus mencerminkan pembeli di negara ini mengutamakan pembelian praktikal meskipun pada musim perayaan.
Shopee Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Shopee 12.12 Jualan Hari Jadi, menunjukkan pembeli mengimbangi kemeriahan sambutan dengan perbelanjaan lebih bijak.
“Dalam kategori rumah dan kehidupan, peralatan memasak menjadi pilihan utama apabila pembeli membuat persiapan untuk majlis dan perjumpaan keluarga.
“Kategori kesihatan dan kecantikan turut mencatat permintaan tinggi, khusus untuk produk solekan dan kosmetik mampu milik yang sesuai dijadikan hadiah, menunjukkan peralihan daripada hadiah perayaan bernilai tinggi kepada barangan kecil untuk kegunaan harian,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, persiapan sebelum pelancongan turut mempengaruhi corak pembelian, apabila rakyat Malaysia membeli lebih banyak barangan seperti kad prabayar Komunikasi Medan Dekat (NFC), botol air dan tisu basah, sekali gus meletakkan barangan ini antara produk terlaris sepanjang kempen tersebut.
Sementara itu Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata sepanjang 10 tahun, perjalanan Shopee di Malaysia dicorakkan mengikut cara rakyat Malaysia membuat pembelian dan meraikan detik penting.
“Akhir tahun merupakan tempoh membeli-belah yang penting dan sempena 12.12 ini, rakyat Malaysia membuat pembelian dengan lebih terancang.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal komited untuk membantu rakyat Malaysia menikmati nilai yang lebih baik untuk barangan keperluan harian, hadiah dan kepuasan diri, sambil menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik dan bermakna,” katanya.
Menurut kenyataan itu, lebih lapan juta baucar telah ditebus sepanjang kempen 12.12, selari dengan komitmen berterusan Shopee Lagi Murah dalam menawarkan harga terbaik, dengan pembeli yang menyertai Program Shopee VIP mencatatkan sehingga tiga kali ganda penjimatan berbanding bukan ahli.
Kandungan interaktif dan menghiburkan kini menjadi sebahagian penting pengalaman membeli-belah, dengan rakyat Malaysia menyertai Shopee Live bagi meraikan ulang tahun ke-10 Shopee menerusi Daily Superstar Livestream serta Shopee Maraton Live selama 12 jam.
Siaran langsung itu menampilkan duta jenama 12.12, Datuk Seri Aliff Syukri dan Bella Astillah, bersama pencipta kandungan popular seperti Sam Lim, Jojo Ghazali, Wan Said dan Neonco.
Pembeli boleh menonton untuk menikmati hiburan tanpa henti, berinteraksi secara langsung dengan penjual serta mendapatkan tawaran eksklusif livestream, sekali gus mencatatkan lebih 51 juta tontonan, menjadikan Hari Jadi Shopee sebagai sambutan yang diraikan bersama-sama di seluruh negara.
Sempena ulang tahun ke-10 Shopee di Malaysia, 12.12 Jualan Hari Jadi mencerminkan perkembangan platform ini selari dengan perubahan cara rakyat Malaysia membuat pembelian, dengan memberi tumpuan kepada musim membeli-belah utama, pengalaman dalam talian dan kandungan yang lebih interaktif.
-- BERNAMA
