JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI, RAMPAS SYABU BERNILAI RM2.4 JUTA

23/12/2025 10:37 PM

ALOR SETAR, 23 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan merampas 75 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggar bernilai RM2.4 juta di Plaza Tol Hutan Kampung, di sini semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata suspek berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim kira-kira pukul 5 pagi hasil maklumat risikan.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan empat guni putih mengandungi 75 bungkusan syabu di belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek, selain sepucuk pistol automatik bersama 12 peluru hidup.

“Suspek bertindak agresif serta enggan keluar dari kenderaan menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adzli berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai transporter dan ditawarkan bayaran RM15,000 untuk membawa bekalan dadah itu dari Perlis ke Butterworth, Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada seorang lelaki lain.

Beliau berkata polis kini sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai memainkan peranan penting dalam mengendalikan dan menyelaras penyeludupan dadah berkenaan.

“Polis turut menyita sebuah kereta BMW X5, sebuah motosikal Kawasaki ZR800 serta wang tunai RM500 yang disyaki hasil aktiviti dadah susulan pemeriksaan di rumah suspek,” katanya yang turut memaklumkan lelaki itu berasal dari Sungai Petani dan didapati positif methamphetamine.

Adzli berkata suspek direman tujuh hari hingga 28 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 8 dan 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Dalam sidang media yang sama, Adzli turut memaklumkan seorang lelaki berusia 23 tahun telah ditahan berkaitan kes ragut menggunakan motosikal terhadap seorang pelajar antarabangsa sebuah universiti, di sini pada 19 Dis.

Beliau berkata suspek dan bapa mentuanya yang berusia 46 tahun ditahan di sebuah rumah, di sini kira-kira pukul 2 pagi selepas laporan diterima daripada mangsa pada pukul 11 malam hari kejadian.

“Lelaki itu mempunyai tiga rekod kes dadah manakala bapa mentuanya mempunyai 12 rekod jenayah, kebanyakannya berkaitan kes curi kabel,” katanya.

Adzli berkata kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan