AM

JAKIM AKAN PANGGIL INDIVIDU MUSLIM DISYAKI TERLIBAT PROGRAM INTERFAITH WATER CEREMONY

24/12/2025 12:34 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil individu beragama Islam yang disyaki terlibat dalam program "Interfaith Water Ceremony" bagi mendapatkan penjelasan berhubung penglibatannya.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengesahkan individu itu bukan pegawai jabatan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook Ahmad Iqram Mohamad Noor, yang mendedahkan bahawa terdapat umat Islam yang terlibat dalam program itu, bagi memastikan penelitian secara adil dan menyeluruh.

"Perkara ini sedang diteliti secara serius oleh JAKIM," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin juga berkata JAKIM bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh, berlandaskan perundangan sedia ada.

"JAKIM sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam... mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, dimohon membuat laporan rasmi kepada pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak berkuasa agama Islam negeri," katanya.

Terdahulu, Ahmad Iqram dalam satu hantaran memuat naik artikel bertajuk Muslim Terlibat Dalam Dakyah Sesat Interfaith Water Ceremony.

Menurut artikel itu, program Loving Couple Festival di dewan sebuah hotel menyaksikan pihak gereja turut melaksanakan ritual Interfaith Water Ceremony yang merupakan upacara berdoa bersama dengan pemimpin agama lain.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kemudian tampil memberi penjelasan bahawa kandungan yang dipetik dalam artikel berkenaan merujuk kepada satu program yang berlangsung tujuh tahun lepas di sebuah hotel di Seberang Jaya.

JHEAIPP memaklumkan program itu pernah dilaporkan secara rasmi dan disiarkan menerusi media tempatan pada tahun sama, dengan liputan berita yang memfokus kepada sambutan serta pengiktirafan terhadap pasangan yang telah berkahwin daripada pelbagai bangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan