AM

TIADA KAD WARGA EMAS RASMI MALAYSIA DIKELUARKAN - JKM

24/12/2025 02:36 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Tiada sebarang pengeluaran Kad Warga Emas Rasmi Malaysia dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan penularan maklumat palsu di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

JKM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan maklumat itu tidak sahih dan berpotensi mengelirukan orang ramai, khususnya dalam kalangan warga emas serta ahli keluarga mereka.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat tepat, sahih dan terkini hanya melalui saluran rasmi JKM termasuk portal dan akaun media sosial jabatan.

“Antara saluran itu ialah portal rasmi JKM, Facebook, Instagram, TikTok dan laman X bagi memastikan maklumat diterima benar dan terkini,” menurut kenyataan itu.

JKM menghargai kerjasama orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terus terpelihara.

JKM memaklumkan pertanyaan atau rujukan perkhidmatan dan permohonan bantuan boleh dibuat melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran.

Baru-baru ini tular keratan akhbar bertajuk “Mohon Kad Warga Emas Mulai Januari”  yang didakwa perlu dimohon menerusi laman sesawang JKM bagi membolehkan warga emas menikmati pelbagai manfaat termasuk diskaun di beberapa lokasi terpilih.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan