EKONOMI

SYARIKAT SEKUTU BORNEO OIL, VERDE RESOURCES MOHON PENYENARAIAN DI NASDAQ

24/12/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Verde Resources Inc, syarikat sekutu Borneo Oil Bhd  telah memohon untuk menyenaraikan saham biasanya di pasaran saham Nasdaq, bersempena dengan cadangan tawaran awam tajaan jamin di Amerika Syarikat (AS).

Borneo Oil menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata mengenai cadangan penyenaraian Nasdaq itu, Verde Resources telah memfailkan penyata pendaftaran secara terbuka di Borang S-1 dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS untuk tawaran awam yang ditaja jamin dengan jangkaan hasil kasar antara US$5 juta (US$1 = RM4.06) dan US$8 juta.

Syarikat itu berkata Verde Resources berhasrat untuk menggunakan hasil penyenaraian tersebut bagi mempercepatkan beberapa inisiatif pertumbuhan strategiknya, termasuk mengembangkan pengeluaran dan pengedaran teknologi BioAsphaltnya di Amerika Utara dengan rakan kongsi komersialnya, Ergon Asphalt & Emulsions, Inc.

"Hasil tersebut juga akan digunakan untuk mengembangkan model pelesenan bagi mewujudkan perkongsian komersial di pasaran baharu dan rantau lain di seluruh dunia serta terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan teknologi dan produk yang menangani cabaran alam sekitar kritikal," katanya. 

Borneo Oil memegang 13.449 peratus kepentingan ekuiti dalam Verde Resources setakat akhir tahun kewangan 2025.

Verde Resources merupakan peneraju baharu dalam produk dan teknologi infrastruktur yang mampan dari segi alam sekitar.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan