AM

BANJIR DI PAHANG PULIH SEPENUHNYA

24/12/2025 05:52 PM

KUANTAN, 24 Dis (Bernama) -- Banjir di Pahang pulih sepenuhnya apabila kesemua 79 mangsa daripada 27 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi, telah dibenarkan pulang hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan dan PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran, masing-masing ditutup pada 2 petang dan 1.30 tengah hari setelah beroperasi sejak 17 Dis lepas. 

Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, Pekan ditutup pada 9 pagi tadi selepas dibuka pada 18 Dis. 

Laman web infobanjir pula melaporkan setakat 4 petang ini, paras Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Kampung Rekoh, Rompin telah melepasi tahap bahaya.

Hujan lebat berterusan minggu lepas telah mengakibatkan beberapa daerah di Pahang dilanda banjir, dengan mangsa yang dipindahkan ke PPS direkodkan melebihi 13,000 orang. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan