AM

PENGANUT KRISTIAN SIBUK BUAT PERSIAPAN AKHIR MENJELANG SAMBUTAN KRISMAS ESOK

24/12/2025 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Bahang perayaan Krismas yang akan disambut esok semakin terasa apabila penganut Kristian sibuk membuat persiapan akhir selain pusat beli-belah turut dihiasi dekorasi warna-warni bertemakan musim sejuk.

Di ibu negara, seorang peniaga barangan hiasan Dawt Hlei Sung, 42, berkata sambutan Krismas tahun ini diraikan secara sederhana bersama keluarganya.

“Saya dan suami bersama anak perempuan dan ibu bapa mentua akan ke gereja,” katanya sambil menambah dia tetap membeli hadiah untuk anaknya walaupun persiapan dibuat pada saat akhir.

Sementara itu, di MELAKA, keunikan pelbagai hiasan di sepanjang jalan di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir terus menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong sempena sambutan Krismas.

Pengerusi Warisan dan Kraf Portugis Melaka Marina Linda Danker berkata rata-rata bangsa Serani yang menetap di perkampungan tersebut mula membuat persiapan sejak bulan lepas dan setakat ini telah berjaya menarik kehadiran sekitar 50,000 pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara. 

"Tradisi menghias rumah dengan pelbagai dekorasi seperti pokok Krismas, rusa, bebola warna-warni serta patung-patung keagamaan kekal diteruskan oleh 118 buah rumah dengan sekitar 1,400 penduduk di kampung itu. 

"Pada malam ambang Krismas (malam ini), kita jangka jalan-jalan di sekitar perkampungan ini akan dipenuhi pengunjung yang mahu merakam keindahan dan keunikan dekorasi dibuat pemilik rumah di sini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Di PULAU PINANG, bahang sambutan Krismas turut dirasai apabila ramai penganut Kristian dilihat memenuhi beberapa lokasi tumpuan termasuk pusat beli-belah dan kedai serbaneka untuk berbelanja saat akhir bagi melengkapkan persiapan menjelang perayaan esok.

Tinjauan Bernama ke beberapa premis di sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya mendapati kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga dan rakan-rakan bagi mendapatkan barangan keperluan serta hiasan Krismas.

Selain itu, inisiatif pusat beli-belah menyediakan dekorasi bertemakan musim sejuk turut menjadi tarikan utama pengunjung, khususnya kanak-kanak yang mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan manakala majoriti kedai juga dilihat menawarkan promosi istimewa sempena Krismas sekali gus menarik kehadiran orang ramai untuk membeli-belah dan mencari hadiah.

Sementara itu, di JOHOR, orang ramai membanjiri pusat beli-belah dan pusat komersial di sini bagi membeli kelengkapan pada saat akhir menjelang sambutan Krismas esok, sekali gus mendorong peningkatan permintaan terhadap makanan, hadiah dan keperluan perayaan lain.

Pekerja sektor korporat V Nithia, 42, berkata dia merancang sambutan sederhana tahun ini dengan memberi tumpuan kepada masakan di rumah serta beberapa hadiah bermakna untuk keluarganya.

“Kegembiraan bagi kami bukan pada membeli secara berlebihan, sebaliknya duduk bersama, berkongsi hidangan dan menikmati waktu bersama keluarga. Saya dan suami turut terkejut apabila mendapati beberapa barangan dijual pada harga lebih rendah berikutan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempen Krismas,” katanya.

Pelawat dari Singapura Daniel Phoon, 35, berkata Johor Bahru menawarkan pilihan yang mudah dan menjimatkan kos untuk membeli-belah sempena Krismas, sekali gus membolehkannya melengkapkan semua pembelian dalam satu perjalanan.

“Saya boleh mendapatkan semua keperluan di sini tanpa perlu ke banyak kedai, selain harganya yang berpatutan, sekali gus menjadikan pengalaman membeli-belah lebih santai,” katanya sambil menambah suasana perayaan turut menjadikan aktiviti membeli-belah lebih menyeronokkan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan