AM

2026: MASA BUKTIKAN KEBERKESANAN DASAR MADANI

25/12/2025 12:35 PM

PUTRAJAYA, 25 Dis (Bernama) -- Dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya, Kerajaan MADANI berjaya menstabilkan ekonomi negara dan meredakan tekanan kos sara hidup rakyat khususnya dalam fasa pemulihan pascapandemik serta ketidaktentuan global.

Namun, memasuki 2026, naratif kestabilan sahaja tidak lagi mencukupi.

Tahun hadapan menandakan fasa yang lebih kritikal, dengan rakyat, penganalisis dan pasaran dijangka mula menilai sama ada kerajaan benar-benar berani menterjemah dasar kepada manfaat sebenar atau sekadar mengurus persepsi.

Penilaian ini menjadi penting kerana negara kini melangkah ke dua tahun terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16, menjadikan setiap keputusan dasar sarat dengan implikasi politik dan ekonomi.

Kos sara hidup akan terus kekal menjadi isu paling dekat dengan denyut nadi rakyat dan buktinya dapat dilihat melalui beberapa inisiatif bersasar kerajaan termasuk penyaluran kira-kira RM15 bilion menerusi Sumbangan Tunai Rahmah, Jualan Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.

Persoalan utama menjelang 2026 ialah sama ada kerajaan bersedia melangkah lebih jauh, termasuk dalam langkah menambah baik subsidi dan struktur gaji… keputusan yang mungkin tidak popular tetapi perlu demi kelestarian fiskal dan keadilan sosial.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan memasuki tahun keempat pentadbiran, ukuran kejayaan Kerajaan MADANI tidak lagi terletak pada kestabilan semata-mata, sebaliknya sejauh mana pembaharuan yang digerakkan mampu memberi kelegaan sebenar dalam kehidupan harian rakyat.

Beliau berkata dalam konteks itu, penggunaan MyKad sebagai mekanisme penyasaran subsidi menjadi pencapaian penting kerana ia telah meletakkan asas kepada sistem bantuan yang lebih adil dan tepat.

Mekanisme ini membolehkan subsidi terus dinikmati majoriti rakyat sambil menutup ketirisan kepada bukan warganegara dan syarikat besar serta membuka ruang kepada pembaharuan subsidi lain secara berperingkat pada masa hadapan.

Dari sudut makroekonomi pula, prestasi Malaysia sepanjang tahun ini memberi gambaran daya tahan yang memberangsangkan.

Keluaran Dalam Negeri Kasar berkembang 4.7 peratus bagi sembilan bulan pertama, disokong permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil dan aliran pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.

Unjuran pertumbuhan oleh HSBC Global Research yang dinaikkan kepada lima peratus daripada 4.2 peratus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi negara.

Namun, ekonomi yang kukuh bukan lesen untuk berasa selesa. Sebaliknya ia mewujudkan jangkaan lebih tinggi bahawa kerajaan perlu menggunakan ruang fiskal itu untuk melaksanakan reformasi yang mungkin sukar tetapi perlu, iaitu daripada penambahbaikan subsidi hinggalah kepada pengukuhan jaringan keselamatan sosial.

Dalam pada itu, keberanian melaksanakan dasar sangat bergantung kepada komunikasi yang berkesan. Ini adalah kerana reformasi yang tidak difahami rakyat berisiko ditolak, walaupun niatnya baik.

Di sini, peranan media menjadi lebih daripada sekadar penyampai maklumat, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan media sebagai rakan strategik kerajaan, khususnya dalam menjelaskan dasar dan menilai peruntukan undang-undang yang berpotensi mengekang kebebasan.

Keterbukaan itu dilihat bukan sahaja mampu memperkukuh keyakinan rakyat tetapi juga media untuk memainkan peranan memastikan proses itu berlaku secara lebih berkesan.

Kesimpulannya, 2026 bukan sekadar kesinambungan tetapi tahun ujian kepada Kerajaan MADANI untuk menyeimbangkan aspirasi rakyat, kestabilan ekonomi dan keberanian membuat keputusan yang mungkin tidak popular.

Prestasi tiga tahun pertama menyediakan asas yang kukuh dan kini masanya untuk kerajaan memastikan dasar yang digubal benar-benar memberi ruang ‘bernafas’ kepada kehidupan seharian rakyat dan melonjakkan negara di kedudukan yang lebih baik.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan