SEREMBAN, 25 Dis (Bernama) -- Suspek utama dalam kes penemuan mayat Suri Narudin yang ditemukan dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, di sini, 18 Dis lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin, esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 51 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyebabkan kematian mangsa.
“Seorang lagi individu iaitu lelaki berusia 41 tahun yang turut ditahan sebelum ini akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, Alzafny dilaporkan berkata mayat yang ditemukan dalam beg ditanam di belakang rumah tersebut dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Dis lepas.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan sebelum mengesahkan identiti mayat wanita itu ialah Suri Narudin, 53, berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang sepadan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara.
-- BERNAMA
