AM

RM1.7 JUTA BAIK PULIH PENDAWAIAN FLAT SERI PERANTAU, KERAJAAN NEGERI MESYUARAT ISNIN INI

26/12/2025 03:10 PM

PELABUHAN KLANG, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini (29 Dis) bagi menentukan tindakan pembaikan sistem pendawaian elektrik membabitkan 128 unit kediaman di Blok C, Flat Seri Perantau, di sini susulan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang berlarutan sejak 7 Dis lepas.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata masalah itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk termasuk pergerakan dalam bangunan yang bergantung kepada lif dan gangguan bekalan air ekoran pam tidak boleh berfungsi, sekali gus menimbulkan kesulitan besar.

“Isnin ini kita akan bermesyuarat bersama pihak pengurusan dan semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) bagi memutuskan langkah penyelesaian yang menyeluruh dan memastikan kerja pembaikan dijalankan segera dan teratur.

“Keputusan yang dibuat nanti akan mengambil kira keselamatan penduduk serta risiko teknikal dan kewangan sebelum sebarang kerja pembaikan dan penyaluran semula bekalan elektrik dilaksanakan supaya tiada litar pintas atau kos tambahan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke flat berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil penilaian awal mendapati kebakaran di bilik papan agihan elektrik (DB) menyebabkan kerosakan serius terhadap keseluruhan sistem pendawaian elektrik di Blok C, seterusnya menjejaskan bekalan sebahagian besar unit kediaman.

Borhan berkata pemeriksaan teknikal mendapati hanya sebahagian kecil unit kediaman menerima bekalan sementara melalui kaedah bekalan pintasan (bypass) yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kaedah bekalan pintasan ini tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana terdapat risiko berlakunya litar pintas semula terutamanya melibatkan DB yang telah terbakar. Pelaksanaan tanpa pemeriksaan teknikal boleh bahayakan penduduk,” katanya.

Borhan berkata maklum balas daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) menunjukkan kos pembaikan sistem pendawaian elektrik di blok itu tinggi dan memerlukan peruntukan besar kerana ia melibatkan kerja menyeluruh bagi setiap unit serta sistem keselamatan bangunan.

Dalam masa sama, beliau berkata semakan menyeluruh ke atas sistem elektrik bangunan mendapati skop kerja pembaikan lebih luas daripada jangkaan awal selepas ia memerlukan penggantian komponen kritikal, pendawaian baharu serta pemeriksaan keselamatan bagi semua sambungan elektrik.

“Anggaran awal kos pembaikan sekitar RM520,000, namun selepas pemeriksaan menyeluruh dibuat kos keseluruhan dianggarkan hampir RM1.7 juta bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan selamat dan mematuhi standard teknikal.

“Jumlah ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), TNB dan agensi teknikal lain bagi memastikan kerja pembaikan disegerakan serta kos dapat diurus dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat mengadakan lawatan kerja ke Blok C, Pangsapuri Seri Perantau bagi meninjau keadaan sebenar penduduk dan keperluan segera bagi menangani masalah elektrik.

7 Dis lepas, bilik DB di Blok C, Flat Seri Perantau dilaporkan terbakar mengakibatkan sistem pendawaian bangunan itu musnah sehingga menjejaskan kira-kira 600 penduduk melibatkan 128 unit kediaman.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan