AM

BATIK ECOPRINT HASIL KARYA ANAK DIDIK CIKGU HADI CURI TUMPUAN DI FESTIVAL KRAF JOHOR 2025

27/12/2025 04:25 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 27 Dis (Bernama) -- Batik ecoprint atau teknik cetakan kreatif hasil karya murid pendidikan khas mencuri tumpuan pengunjung Festival Kraf Johor (FKJ) 2025 apabila setiap helaian batik berkenaan menampilkan keunikan kreativiti serta sentuhan peribadi penghasilnya.

Pengerusi Pertubuhan Seni Orang Kurang Upaya Pengerang (PSOKUP) Hadi Salleh, 54, atau lebih mesra disapa Cikgu Hadi, berkata seni batik ecoprint membuka ruang luas kepada murid pendidikan khas berkarya secara bebas tanpa kekangan teknikal yang rumit atau berisiko.

Beliau, yang bersara pilihan pada September lepas sebagai Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi, berkata di bawah bimbingannya, sebanyak 30 murid pendidikan khas dan autisme berusia antara 13 hingga 19 tahun terlibat secara aktif dalam penghasilan karya seni berkenaan.

Hadi berkata batik ecoprint berbeza daripada batik canting tradisional kerana ia dihasilkan menggunakan sumber alam seperti daun dan bunga tempatan sekali gus mengekalkan keaslian seni bermotifkan flora dengan corak yang bersifat semula jadi.

“Prosesnya mudah dan selamat. Kain direndam bersama cuka, tawas dan ferrous sulphate semalaman sebelum diperah lalu disusun dengan daun mengikut kreativiti pembuatnya, sebelum diikat dan dikukus selama dua jam untuk menghasilkan warna dan corak alami.

“Setiap corak tidak akan sama dan tidak boleh diulang, sebab itu batik ecoprint ini unik dan istimewa,” katanya ketika ditemui Bernama di festival berkenaan di Padang Akasia, Angsana Mall di sini hari ini.

Hadi berkata kaedah yang ringkas itu membolehkan murid di bawah bimbingannya melaksanakan sendiri proses penghasilan batik mengikut kreativiti dan cita rasa masing-masing sekali gus meningkatkan keyakinan serta kemahiran kendiri mereka.

Bapa kepada tiga cahaya mata berasal dari Pontian itu, berkata minatnya terhadap teknik batik tersebut bermula selepas mengikuti bengkel persendirian ecoprint sebanyak dua siri pada Julai tahun lepas dengan kos RM700, sebelum memperkenalkannya kepada murid pendidikan khas secara berperingkat.

Hasil karya murid kemudian dimanfaatkan sebagai pelbagai produk kraf seperti beg tangan, topi dan pakaian yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM350, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan serta memberi pendedahan awal kepada nilai keusahawanan.

Beliau berkata PSOKUP turut menerima sokongan dana RM50,000 bagi Projek Kraf MADANI daripada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menjadi pemangkin untuk memperluas aktiviti seni dan pameran hasil karya murid pendidikan khas.

“Platform seperti festival ini juga penting supaya masyarakat melihat keupayaan sebenar anak-anak pendidikan khas. Mereka bukan sekadar belajar tetapi juga mampu berkarya dan berdikari melalui hasil tangan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Syaqir Abdullah, 15, yang merupakan antara murid bimbingan Cikgu Hadi, berkongsi keterujaan menghasilkan batik ecoprint kerana prosesnya mudah dan menyeronokkan.

“Saya ikut cikgu sejak tahun lepas. Senang buat, seronok dan hasilnya cantik,” katanya sambil cekap melakukan proses ikatan dan susunan daun bagi menghasilkan corak batik.

Festival Kraf Johor 2025 berlangsung dari 18 hingga 29 Dis.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan