Oleh Aisha Hani Nor Azmir
KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan sekiranya majoriti kerajaan negeri terjejas, walaupun masih terdapat dua tahun untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sekiranya Speaker DUN memperakukan majoriti kerajaan semasa terjejas, PRK hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi itu, selaras dengan peruntukan undang-undang negeri.
“Namun, bagi kes DUN Perlis ini, memandangkan Speaker telah mengumumkan bahawa majoriti terjejas, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah mengadakan PRK,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan berkata pihaknya akan menggunakan budi bicara yang diperuntukkan melalui Proviso Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi memaklumkan kepada SPR, kekuatan dari segi bilangan parti membentuk majoriti semua ADUN adalah terjejas susulan tiga kekosongan luar jangka itu.
Rus'sele berkata dalam keadaan biasa, berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka apabila usia DUN telah mencecah tiga tahun atau lebih.
Bagaimanapun, beliau berpendapat tiga kekosongan itu perlu diisi semula bagi kepentingan kestabilan kerajaan dan untuk memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat, memandangkan kekosongan luar jangka itu menjejaskan bilangan majoriti ADUN Perlis.
Pada 25 Dis lepas, Rus'sele pada sidang media di Kompleks Seri Putra, Kangar memaklumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu selepas keahlian tiga ADUN daripada PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi DUN terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media pada 24 Dis memaklumkan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perlis, Abdul Aziz berkata ia bergantung sama ada kedudukan kerusi di DUN Perlis menjejaskan majoriti untuk membentuk kerajaan atau sebaliknya.
Beliau berkata ketiadaan majoriti mudah di DUN semestinya akan menjejaskan fungsi pentadbiran dan kerajaan akan berdepan dengan undi tidak percaya atau lain-lain halangan terutama melibatkan fungsi DUN secara keseluruhan untuk meluluskan isu bekaitan pentadbiran dan perundangan.
“Sekiranya tiada lagi majoriti mudah langkah terbaik ialah menteri besar boleh memohon pembubaran DUN daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi memberi laluan PRN,” katanya.
-- BERNAMA
