DUNGUN, 27 Dis (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki disyaki cuba melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM30,000 gagal apabila dia berjaya ditahan oleh seorang pelanggan di sebuah kedai emas di Paka dekat sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira 12.20 tengah hari.
“Suspek yang memakai kopiah dan pelitup muka itu masuk ke kedai emas berkenaan sambil berpura-pura untuk membeli. Kemudian lelaki itu meminta pekerja kedai berkenaan mengambil seutas rantai emas sebelum bertindak melarikan diri.
“Suspek bagaimanapun gagal melarikan diri selepas pintu automatik kedai itu berjaya dikunci pekerja kedai terbabit dan seorang daripada pelanggan secara pantas bertindak menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Maizura berkata hasil siasatan polis mendapati suspek menggunakan sebuah kereta yang didaftarkan atas nama bapa saudaranya dengan nombor pendaftaran palsu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, rakaman video kamera litar tertutup mengenai kejadian berkenaan tular di aplikasi Facebook.
-- BERNAMA
