JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM SARAWAK RAMPAS ROKOK, ARAK BERNILAI RM4.2 JUTA DI SIBU 

27/12/2025 07:06 PM

KUCHING, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 3,430,000 batang rokok serta 70,518.24 liter minuman keras tidak berkastam bernilai RM4.2 juta di sebuah rumah dua tingkat di Sibu pada 17 Dis lepas.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu pada 4.25 petang.

“Hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan rokok dan minuman keras yang disyaki barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Nilai sitaan rokok dan minuman keras itu dianggarkan RM731,809.44 manakala anggaran jumlah duti import dan cukai terlibat adalah RM3,472,209.93,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norizan berkata modus operandi kes itu adalah menjadikan rumah penginapan sebagai tempat penyimpanan barang larangan bagi mengelak daripada dikesan.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan