PEKAN, 28 Dis (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja meringankan kos sara hidup penerima, malah dijadikan modal untuk menambah stok jualan bagi peniaga kecil.
Peniaga makanan di Nenasi, dekat sini, Mohd Shukrillah Muhamed Norlida, 39, berkata bantuan itu banyak membantu keluarganya membeli barang keperluan harian, selain dijadikan sebagai tambahan modal perniagaan.
“Alhamdulillah, SARA sangat membantu. Saya guna setiap bulan untuk membeli barang keperluan. Tambahan RM100 (secara sekali bayar) itu memang menggembirakan kerana dapat beli barang masak untuk berniaga,” katanya ketika ditemui Bernama di Nenasi.
Beliau berkata walaupun sesetengah pihak menganggap nilai yang diterima kecil, namun bantuan SARA tetap memberi kelegaan terutama dalam mengurangkan kos operasi peniaga kecil.
“Sekarang harga barang mahal. Kalau tak guna untuk kegunaan sendiri, saya guna untuk kedai. Sebagai peniaga, bantuan ini sedikit sebanyak sangat membantu,” katanya.
Sementara itu, pesara K. Ravendran, 65, menyifatkan bantuan SARA membantu beliau sekeluarga membuat persiapan perayaan Deepavali tahun ini yang disambut di kediamannya di Kuantan.
“Ketika perayaan (Deepavali) tempoh hari, anak-anak dan menantu dari Kuala Lumpur semua balik awal untuk beli barang keperluan raya. Mereka semua sudah bekerja, jadi banyak yang beli barang-barang masakan pakai SARA,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Beliau turut menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu bukan sahaja golongan berpendapatan rendah, malah golongan berpendatan sederhana.
“Terima kasih kepada kerajaan walaupun bantuan ini ada yang anggap kecil, tetapi sangat membantu. Saya rasa keluarga lain pun akan rasa perkara yang sama,” katanya.
Pada 18 Dis lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatat kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.
Beliau berkata kerajaan tidak melihat cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini, biarpun program berkenaan melibatkan jumlah transaksi besar melebihi 20 juta pengguna.
-- BERNAMA
