KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 31 perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel penetapan harga berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.
MyCC, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan telah mendapati perusahaan terbabit melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama-sama Seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].
Pengerusinya Tan Sri Idrus Harun berkata perusahaan tersebut telah berbincang dan bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa mesyuarat persatuan pada September 2023.
“Keputusan dalam mesyuarat itu kemudiannya disampaikan kepada semua pihak yang hadir melalui satu memorandum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idrus berkata susulan mesyuarat itu, satu pengumuman awam dibuat melalui akaun Facebook rasmi persatuan menyatakan pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak sebulat suara bersetuju menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan berkuat kuasa 2024.
Beliau berkata MyCC mendapati perjanjian itu mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.
Bagaimanapun, Idrus berkata Keputusan Cadangan itu merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap bahawa perusahaan tersebut telah melanggar Akta 712 secara konklusif.
“Perusahaan terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan.
“Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan dan membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh ditentukan kemudian,” katanya.
Beliau berkata MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan itu bersama-sama bukti diperoleh semasa penyiasatan.
-- BERNAMA
