AM

FINAS SALUR RM1.51 JUTA INSENTIF TAYANGAN KEPADA 27 FILEM

30/12/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menyalurkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) bernilai RM1.51 juta kepada 27 filem tempatan, selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh industri perfileman negara.

Pengerusi FINAS Datuk Gerald Hans Isaac berkata pemberian insentif itu dibuat berdasarkan penilaian berformat dan peratusan tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ITFC yang diguna pakai sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2011.

Beliau berkata insentif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI, Kementerian Komunikasi serta FINAS dalam membantu kelangsungan industri kreatif tempatan melalui pelbagai bentuk sokongan kewangan.

“Berdasarkan pengalaman saya berinteraksi dengan penggiat industri di luar negara, tidak semua negara menyediakan insentif seperti ini dan ada dalam kalangan mereka menyatakan rasa cemburu terhadap sokongan yang diberikan Malaysia kepada industri kreatifnya.

“Insentif ini juga telah disalurkan sebanyak tiga kali (tahun ini), bermula pada April melibatkan sembilan filem dengan jumlah RM613,702.13, diikuti penyerahan kedua pada September berjumlah RM1,128,729.74 (14 filem) dan hari ini sebanyak RM1,509,659.32 (27 filem),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian ITFC 2.0 di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah FINAS Datin Rozita Waty Ridzuan.

Selain itu, Hans berkata sepanjang tahun ini, industri filem tempatan merekodkan kutipan keseluruhan berjumlah RM221.6 juta hasil tayangan 71 filem cereka tempatan di bawah pelaksanaan Skim Wajib Tayang, sekali gus menjadikan 2025 sebagai tahun kutipan tertinggi sejak skim itu diperkenalkan.

“Kami (FINAS) akan terus melaksanakan inisiatif galakan yang bersasar dan berimpak tinggi bagi memastikan industri perfileman dan kandungan kreatif negara berkembang secara mampan, berdaya saing dan inklusif,” katanya.

ITFC adalah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi FINAS bagi membantu dan menggalakkan penerbit filem menghasilkan filem cereka tempatan, secara tidak langsung menjana pembangunan industri filem melalui strategi galakan industri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan