KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pemergian Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Prof Datuk Dr Madeline Berma sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia akademik, tetapi juga bagi Sarawak dan Malaysia.
Beliau berkata mendiang yang merupakan tokoh ilmuwan tersohor dan pemikir ekonomi hebat telah mencurahkan seluruh kehidupan profesionalnya demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Sumbangan besar beliau terutamanya melalui penyelidikan mendalam dalam bidang pembangunan ekonomi, dasar awam, kemiskinan dan ketidaksamaan sosial telah banyak membantu membentuk pemikiran serta hala tuju dasar negara.
“Pandangan dan hasil penyelidikan beliau juga sering menjadi rujukan penting, bukan sahaja dalam kalangan akademik, malah oleh pembuat dasar di peringkat nasional,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Fadillah berkata sepanjang perkhidmatan sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia serta kepimpinan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Madeline telah memperkukuh wacana intelektual negara dan melahirkan ramai sarjana.
Beliau berkata mendiang turut membimbing generasi pembuat dasar dengan ilmu yang berteraskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jasa, ilmu dan legasi pemikiran Madeline akan terus hidup dan sentiasa dikenang serta menjadi panduan kepada generasi akan datang.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
Madeline meninggal dunia pada usia 67 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 11.30 pagi tadi.
Anak saudara mendiang, Basil Cliffton Calvert memaklumkan jasad mendiang akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian.
-- BERNAMA
