AM

CP500 DIKELUARKAN BERDASARKAN PELAPORAN PEMBAYAR CUKAI DALAM BNCP - LHDN

31/12/2025 05:25 PM

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Notis Bayaran Ansuran (CP500) yang diserahkan kepada pembayar cukai secara berperingkat pada Disember 2025, adalah berdasarkan pelaporan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa CP500 hanya dikeluarkan sekiranya pembayar cukai melaporkan penerimaan pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian, selaras dengan peruntukan Seksyen 107B Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Menurut kenyataan itu, LHDN telah menerima aduan dan maklum balas daripada pembayar cukai yang telah menerima CP500, walaupun hanya mempunyai punca pendapatan penggajian.

“Berdasarkan semakan lanjut, LHDN mendapati pembayar cukai berkenaan telah membuat pelaporan yang kurang tepat dalam BNCP.

“Sebahagian pendapatan penggajian telah dilaporkan sebagai pendapatan daripada punca dividen, faedah, sewa, royalti, pencen, anuiti dan apa apa perolehan atau keuntungan lain,” menurut kenyataan itu. 

Bagi pembayar cukai individu yang hanya mempunyai punca penggajian tetapi telah menerima CP500, LHDN memaklumkan pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502).

Ia perlu dikemukakan bersama borang EA/EC (Penyata Saraan Daripada Penggajian) kepada Meja Bantuan CP500 melalui e-mel di mejabantuanCP500@hasil.gov.my.

LHDN menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dalam BNCP dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur.

“LHDN komited untuk terus memperkasakan sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai bagi memudahkan pelaksanaan tanggungjawab percukaian secara telus dan efisien,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan