AM

MYCARE SASAR SEDIAKAN 500 PEK BANTUAN BAYI UNTUK DISALURKAN KE GAZA

31/12/2025 05:53 PM

SHAH ALAM, 31 Dis (Bernama) -- Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) menetapkan sasaran menyediakan 500 pek bantuan bayi bernilai RM375,000 bagi membantu penduduk Palestin terutama di Gaza untuk menghadapi musim sejuk. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Fauziah Mohd Hasan berkata pihaknya dengan kerjasama Klinik Ajwa akan menggerakkan kutipan dana bagi menyediakan bantuan berkenaan yang merangkumi barangan seperti susu formula dan lampin pakai buang.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan akan melibatkan kerjasama rakan strategik antarabangsa bagi membolehkan pembelian barangan dibuat terus di dalam wilayah Gaza bagi mengelakkan sekatan.

“Penduduk di sana lebih berhak menentukan keperluan mereka sendiri. Oleh itu, kita hanya akan serahkan bantuan kewangan, sampai di sana mereka akan uruskan pembelian serta serahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Musim Sejuk dan Baby Bags Gaza di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan berkenaan diambil bagi memastikan bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar komuniti setempat tanpa ditentukan oleh mana-mana pihak luar.

“Banyak barangan termasuk susu bayi telah disekat di sempadan, malah ada yang dirampas walaupun bantuan berkenaan dibawa oleh petugas perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Fauziah yang juga aktivis kemanusiaan berkata kos barangan asas di Gaza kini berada pada tahap tidak masuk akal apabila sebahagian barangan hanya dibenarkan masuk melalui saluran perniagaan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan barangan keperluan dijual pada harga melampau sedangkan penduduk setempat tidak mempunyai pendapatan atau pekerjaan tetap untuk mendapatkan keperluan harian.

“Walaupun keadaan kini sedikit longgar dan lebih banyak barangan dibenarkan masuk, harganya masih tinggi dan hanya mampu dibeli dengan bantuan dana orang ramai dari seluruh dunia," katanya dan memaklumkan orang ramai boleh menyumbang menerusi akaun CIMB atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad (8602135592).

Terdahulu, Dr Fauziah terlibat sebagai ahli panel forum bertajuk “Wanita dan Perjuangan Palestin” yang disaksikan hampir 200 peserta di Auditorium Yayasan Restu, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini. 

Dua lagi ahli panel ialah tokoh akademik dan aktivis kemanusiaan Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Mohd Afandi Salleh. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan