JENAYAH & MAHKAMAH

KEMALANGAN PAYUNG TERJUN: TENTERA DARAT SAHKAN PENERJUN RETAK TULANG LEHER

31/12/2025 07:56 PM

MELAKA, 31 Dis (Bernama) -- Sel Perhubungan Raya Tentera Darat (TD) mengesahkan anggota tentera yang terbabit dalam kemalangan latihan payung terjun di Padang Encore, Klebang, Ahad lepas, mengalami kecederaan retak pada tulang leher.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya TD, beberapa hantaran yang tular dalam media sosial sebelum ini yang mendakwa anggota penerjun daripada Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) itu patah tulang rusuk adalah tidak benar.

Kenyataan itu menjelaskan kecederaan retak pada tulang leher terhadap penerjun itu dikesan hasil imbasan X-Ray dan computed tomography (CT) yang dilakukan ketika anggota berkenaan menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Bagi memastikan proses pemulihan yang optimum dan terkawal, anggota telah dipindahkan ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Pulpak, Kem Sungai Udang semalam.

“Beliau kini berada di bawah pemantauan rapi Pegawai Perubatan TD bagi rawatan susulan kecederaan yang dialami,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak rasmi yang boleh mengganggu privasi anggota dan keluarga.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan