EKONOMI

CAPITAL A MOHON KELULUSAN BURSA LANJUTAN MASA MUKTAMADKAN PENGAGIHAN SAHAM

31/12/2025 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Capital A Bhd memohon kelulusan Bursa Malaysia Securities untuk melanjutkan tempoh sehingga 19 Jan, 2026 bagi melengkapkan pengagihan saham yang dicadangkan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan itu berkata permohonan itu dikemukakan oleh RHB Investment Bank Bhd bagi pihak syarikat.

AirAsia X Bhd (AAX) berhasrat untuk memperuntukkan dan menerbitkan pengagihan saham tersebut secara serentak dengan saham yang akan diterbitkan di bawah cadangan tawaran saham persendirian, menurut syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan tawaran saham persendirian itu dijangka tertangguh berikutan dokumentasi daripada pelabur yang dikenal pasti masih belum dimuktamadkan, sekali gus menjejaskan garis masa pengagihan saham.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, AAX memaklumkan bahawa ia turut memohon kelulusan Bursa Securities bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan beberapa cadangan, termasuk tawaran saham persendirian, pemerolehan AirAsia Aviation Group Ltd serta pemberian opsyen langganan.

Syarikat itu bagaimanapun berkata lanjutan tempoh itu tidak melibatkan cadangan penerbitan waran percuma, yang telah diselesaikan hari ini (31 Dis, 2025), serta cadangan pemerolehan AirAsia Bhd dan pengurangan modal saham kerana kedua-duanya tidak tertakluk kepada tarikh akhir pelaksanaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan