AM

PELBAGAI NEGERI ANJUR SAMBUTAN MERIAH JAYAKAN KEMPEN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

01/01/2026 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Negeri-negeri di seluruh negara hari ini memulakan kempen sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan penganjuran pelbagai acara khas di pintu masuk utama termasuk di lapangan terbang, terminal feri dan kompleks imigresen bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan antarabangsa.

Di PAHANG, sambutan bagi meraikan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Leong Yu Man yang diserikan dengan persembahan kebudayaan serta demonstrasi tenun Pahang.

Leong ketika ditemui pemberita pada sambutan yang turut menyaksikan kehadiran maskot rasmi TMM2026 Wira dan Manja, berkata negeri Tok Gajah itu menyasarkan 15 juta pelawat dari dalam dan luar negara tahun ini dengan nilai pendapatan dianggarkan lebih RM13 bilion.

Selain itu, ketibaan 394 penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke TERENGGANU disambut dengan meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus yang juga melibatkan kehadiran maskot rasmi TMM2026.

Selain diiringi persembahan muzik gamelan, penumpang yang tiba melalui tiga penerbangan pertama ke Terengganu bagi 2026 itu dihiburkan dengan tarian kebudayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan memberi kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kejayaan kempen TMM2026.

Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan, dan Kesenian Nicole Tan bersama-sama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Tourism Malaysia mengadakan Program 'Welcoming Pelancong' sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Nicole berkata program itu merupakan inisiatif awal bagi mempromosikan Negeri Sembilan, khususnya daerah Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama.

Majlis sambutan pelancong bermula di Plaza Tol Seremban-Port Dickson diikuti Jeti Penumpang Port Dickson dan Terminal One Seremban yang merupakan antara lokasi utama bagi inisiatif pembukaan kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan dan TMM2026.

Di MELAKA seramai 160 pelancong dari Dumai, Indonesia yang memasuki negeri itu melalui feri di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di sini diraikan dengan sambutan khas.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia Amirul Ariffin Md Nasir sebaik feri berkenaan tiba di terminal pada 12.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, di SARAWAK Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula menyambut kedatangan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pelancong disambut penyambut tetamu berpakaian tradisional suku kaum di Sarawak di samping penampilan maskot beruang matahari yang merupakan ikon kempen TMM2026.

Terdapat lima lokasi pintu masuk darat di Sarawak iaitu ICQS Sungai Tujuh, Tebedu, Tedungan, Pandaruan dan Biawak serta empat pintu masuk udara iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dipilih sebagai lokasi sambutan hari ini.

Di SABAH Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin menyempurnakan majlis sambutan ketibaan pelawat terawal sempena kempen TMM2026 peringkat negeri, sekali gus menandakan permulaan usaha mempergiat promosi pelancongan Sabah pada peringkat antarabangsa.

Jafry berkata Sabah memiliki kekuatan tersendiri sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, dengan gabungan warisan alam semula jadi dan biodiversiti unik yang mendapat pengiktirafan dunia.

“Di Sabah memang banyak tempat menarik. Kita mempunyai pengiktirafan UNESCO seperti Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker yang mendapat pengiktirafan dunia. Kita juga ada satu lagi yang baharu di Sukau yang mendapat pengiktirafan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, di PERLIS kerajaan negeri menyasarkan kehadiran empat juta pelancong tahun ini berbanding 3.5 juta pelancong direkodkan sepanjang tahun lepas.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata terdapat 12 program berskala besar akan dilaksanakan bersempena Tahun Melawat Perlis 2026 bagi menyokong penganjuran TMM2026.

Di PERAK, tiga lokasi utama yang dikenal pasti sebagai pintu masuk pelancong sempena kempen TMM2026 iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Ipoh serta ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata lebih 100 produk pelancongan menarik merangkumi keindahan alam semula jadi, kekayaan warisan budaya serta kepelbagaian gastronomi ditawarkan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Beliau berharap sambutan itu bukan hanya meningkatkan ketibaan pelancong malah merancakkan ekonomi tempatan serta memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dengan pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan