RAWANG, 2 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima kira-kira 50 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan, dan 11 daripadanya diluluskan setakat ini.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata setiap permohonan diproses secara teliti bagi memastikan ia disertakan bukti kukuh dan memenuhi syarat ditetapkan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Permohonan diproses dari semasa ke semasa… bukan hanya Baba Nyonya, masyarakat Siam tempatan juga ada mengemukakan permohonan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Sungai Buaya di sini hari ini.
Sebelum ini, projek perintis yang bermula pada 1 Okt lepas membolehkan keturunan Baba Nyonya didaftarkan secara rasmi dalam dokumen pengenalan diri berjalan lancar, dan pelaksanaannya diperluas ke seluruh negara mulai semalam.
Badrul Hisham juga berkata sistem pendaftaran bangsa di JPN bersifat dinamik dan boleh dipinda termasuk status bangsa, nama serta gelaran tertakluk kepada pengemukaan dokumen sokongan yang sah dan kukuh.
Beliau berkata pihaknya sedang menambah baik pembangunan sistem perkhidmatan hujung ke hujung bagi memudahkan urusan orang ramai kerana buat masa ini, semua permohonan pindaan termasuk berkaitan status bangsa perlu dibuat secara fizikal di pejabat JPN.
-- BERNAMA
