AM

PRASARANA REKOD 1.54 JUTA PERJALANAN PENUMPANG SEMPENA AMBANG TAHUN BAHARU

02/01/2026 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) merekodkan lebih 1.54 juta perjalanan penumpang perkhidmatan rel dan bas pada 31 Dis 2025 sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah pengendali perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan dalam kenyataan hari ini, berkata jumlah itu meningkat 0.76 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Kecekapan koordinasi dan pengurusan kawalan orang ramai yang digerakkan kira-kira 3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang berjaya memastikan pengguna rel dan bas menikmati perjalanan yang lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu.

“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan Rapid KL beroperasi dengan lancar walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa lokasi tumpuan sambutan,” katanya.

Berdasarkan rekod, jumlah pengguna perkhidmatan rel pada tarikh itu ialah sebanyak 1.29 juta penumpang manakala perkhidmatan bas termasuk Rapid On-Demand (ROD) merekodkan 251,737 penumpang.

Bagi perkhidmatan rel, jumlah penumpang bagi laluan Kelana Jaya ialah sebanyak 321,381 penumpang, Ampang/Sri Petaling (246,885 penumpang), Monorel (90,748 penumpang), Kajang (396,141 penumpang) dan Putrajaya (234,158 penumpang).

Jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan bas termasuk ROD yang merangkumi Rapid KL ialah sebanyak 183,944 orang, Rapid Penang (48,002 orang) dan BRT Sunway (19,791 orang).

“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme petugas Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat diurus secara berkesan, selamat dan selesa walaupun dalam situasi operasi mencabar,” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal pergerakan trafik serta penguatkuasaan terhadap laluan bas turut membantu memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual meskipun keadaan trafik sangat sesak di sekitar pusat bandar.

Selain itu, koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana bersama-sama penganjur acara dan pasukan keselamatan pusat beli-belah utama turut memainkan peranan penting dalam mengurus aliran penumpang serta memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa berada pada tahap optimum.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan