KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan memulakan misi memburu gelaran Piala Malaysia kali keempat berturut-turut bertemu PDRM FC pada perlawanan pertama pusingan 16 yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jan ini.
Pada majlis undian malam ini, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu akan bertandang ke kubu lawan sebelum melayani kunjungan PDRM di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor.
Sekiranya berjaya mara ke suku akhir, JDT kendalian Xisco Munoz bakal berdepan antara Melaka FC dan finalis Piala FA musim lepas, Sabah FC yang diundi dalam laluan sama menuju ke pentas final.
Pada masa sama, juara 2021 Kuala Lumpur City FC diundi bertemu pasukan Liga A1 Semi Pro Perak FA manakala satu lagi pasukan semi pro UM-Damansara United akan berdepan Terengganu FC.
Dalam satu lagi laluan ke final, juara 33 kali Selangor FC akan bertemu Kelantan The Real Warriors FC dengan pemenang bakal membuat perhitungan menentang antara Imigresen FC vs Negeri Sembilan FC.
Sementara itu, Kuching City FC diundi bertemu Penang FC manakala pasukan semi pro Kelantan Red Warriors FC dijadualkan berdepan DPMM FC.
Berdasarkan perancangan awal Liga Bolasepak Malaysia (MFL), aksi pusingan 16 Piala Malaysia 2025-2026 dijangka bermula pada 17 Jan, tertakluk kepada sebarang perubahan dengan perlawanan akhir disasarkan berlangsung pada Mei.
Pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir akan meneruskan cabaran dalam saingan Piala Cabaran MFL 2025-2026.
Sebagai rekod, JDT meraih kejuaraan hatrik Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada April lepas.
-- BERNAMA
