DUNIA

PENYERTAAN PASARAN MENINGKAT DIJANGKA PACU KENAIKAN BURSA MALAYSIA MINGGU DEPAN

03/01/2026 10:36 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia diunjur meningkat minggu depan memandangkan penyertaan pasaran dan mudah tunai dijangka bertambah selepas mencatat paras rendah berikutan tempoh dagangan yang singkat ketika musim cuti, kata ahli ekonomi.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata memandangkan penggiat pasaran kembali aktif selepas cuti akhir tahun, penyertaan pelabur dan mudah tunai dijangka meningkat dengan ketara.

Katanya langkah ini sekali gus membolehkan pembentukan harga saham yang lebih jelas mencerminkan isyarat makroekonomi yang semakin baik.

“Apabila mudah tunai kembali normal minggu depan, ia dijangka menjurus kepada minat risiko yang kukuh dan persekitaran dagangan yang lebih menggalakkan bagi Bursa Malaysia pada awal 2026,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek turut menjangkakan terdapat sentimen yang lebih membina apabila pelabur kembali aktif di pasaran dan menilai pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia yang memberangsangkan, justeru memberi isyarat bahawa sektor pembuatan negara kini kembali berkembang.

Bursa Malaysia mencatat sedikit penurunan ketika mengakhiri minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti umum dalam keadaan kekurangan pemangkin baharu dan permintaan yang lemah berikutan cuti akhir tahun.

Bagaimanapun, pada Selasa FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat paras tertinggi baharu bagi 2025 pada 1,684.53, disokong oleh pembelian berterusan daripada institusi tempatan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,650-1,680 minggu depan dengan sentimen yang membina.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 7.34 mata kepada 1,669.76 daripada 1,677.10 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 31.70 mata kepada 12,256.44, Indeks FBMT 100 rendah 32.01 mata kepada 12,058.66 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 39.11 mata kepada 12,066.50.

Indeks FBM 70 naik 49.90 mata kepada 16,852.47 dan Indeks FBM ACE menambah 63.48 mata kepada 4,923.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 38.39 mata kepada 19,589.99, Indeks Perladangan menyusut 28.43 mata kepada 8,271.09 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.87 mata kepada 172.16 manakala Indeks Tenaga naik satu mata kepada 766.77.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 7.88 bilion unit bernilai RM7.42 bilion daripada 7.96 bilion unit bernilai RM6.79 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 4.58 bilion unit bernilai RM6.75 bilion berbanding 4.64 bilion unit bernilai RM6.16 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 2.16 bilion unit bernilai 229.36 juta berbanding 2.30 bilion unit bernilai RM236.07 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.13 bilion unit bernilai RM444.17 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM385.43 juta minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan