KUALA BERANG, 4 Jan (Bernama) -- Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini sedia untuk digunakan selepas dinaik taraf daripada sebuah pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim berkata kerja menaik taraf sebuah bangunan asrama sekolah yang tidak digunakan lagi itu dilakukan dari Julai hingga Disember tahun lepas dengan kos kira-kira RM907,000.
Beliau berkata projek menaik taraf PPS kepada PPKB itu ialah yang ketiga disiapkan selepas PPKB Dewan Taman Kota Jaya dan PPKB Dewan Arena Segitiga dengan kedua-duanya terletak di Kota Tinggi, Johor.
“Perancangan kita hendak mewujudkan 15 PPKB di seluruh negara, sama ada bina baharu atau menaik taraf PPS bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.
“Kita juga amat berharap PPKB ini dapat digunakan di luar musim banjir supaya projek ini tidak dianggap sebagai pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PPKB SMK Matang hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Pengarah Pendidikan Terengganu Kamsah@Kamal Mohamed.
Meor Ismail berkata PPKB SMK Matang mampu menempatkan lebih 200 mangsa banjir pada satu-satu masa dan mempunyai pelbagai fasiliti lebih selesa termasuk tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
Selain tujuh bilik, pusat itu mempunyai sebuah stor yang boleh dijadikan sebagai pangkalan hadapan bagi menempatkan barangan keperluan serta makanan mangsa banjir.
Sementara itu, Meor Ismail berkata semua agensi berkaitan telah siap siaga untuk menghadapi fasa seterusnya luruan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.
-- BERNAMA
