AM

PEMIMPIN MASYARAKAT SIVIL, AHLI AKADEMIK MALAYSIA KECAM OPERASI AS DI VENEZUELA

04/01/2026 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pemimpin masyarakat sivil dan ahli akademik Malaysia hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela yang disifatkan tidak berasas dan menyalahi undang-undang.

Menerusi kenyataan bersama, mereka memberi amaran bahawa tindakan AS itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta mengancam keamanan dan kestabilan global.

Mereka terdiri daripada Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Bersama ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) Charles Santiago, Pengarah Eksekutif Third World Network (TWN) Chee Yoke Ling, Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Jismi Johari serta Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman.

“Tindakan agresif ini merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip asas undang-undang antarabangsa, termasuk larangan penggunaan kekerasan serta hak semua rakyat untuk menentukan nasib sendiri,” menurut mereka dalam kenyataan bersama itu.

Mereka turut menyeru supaya semua operasi ketenteraan terhadap Venezuela dihentikan segera, pelaksanaan pengunduran tentera asing daripada wilayah dan ruang udara serta penghormatan penuh diberikan terhadap kedaulatan negara, kemerdekaan politik, dan hak Venezuela untuk mengurus sumber semula jadinya.

"Dunia tidak boleh membisu. Kami menyeru semua individu berprinsip, pertubuhan masyarakat sivil, dan negara anggota yang komited kepada tatanan antarabangsa yang adil dan aman untuk bersama-sama mengecam perbuatan biadab ini,” menurut kenyataan bersama itu.

 Pemimpin masyarakat dan ahli akademik berkenaan turut menggesa Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengadakan mesyuarat dengan segera bagi menangani apa yang mereka sifatkan sebagai satu pelanggaran keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan