GEORGE TOWN, 4 Jan (Bernama) -- Lebih sejuta penganut Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 1 Feb depan.
Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) Dr R.Lingeshwaran berkata sehubungan dengan itu, persiapan rapi sedang giat dijalankan pihak kuil serta jawatankuasa terlibat bagi memastikan perayaan penting bagi kaum India itu berjalan lancar seperti tahun sebelumnya.
“Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lepas, jumlah pengunjung hadir dianggarkan satu juta dan tahun ini kita jangkakan akan lebih lagi kerana sambutan berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu dengan acara kemuncak pada Ahad, 1 Feb iaitu hari Thaipusam.
“Selain itu, ketibaan pelancong terutama dari India juga dijangka meningkat kali ini berikutan pembukaan semula penerbangan terus dari Chennai ke Pulau Pinang,” katanya ditemui pemberita di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam di Jalan Kebun Bunga di sini hari ini.
Beliau memaklumkan pihaknya juga bekerjasama rapat dengan PDRM serta agensi berkaitan dalam merangka perancangan sambutan dari pelbagai aspek memandangkan ia merupakan acara peringkat negeri dan berskala besar.
Sementara itu, bersempena kedatangan Thaipusam, LWHPP hari ini mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ke kuil di atas bukit itu.
Lingeshwaran berkata inisiatif itu bagi memastikan golongan berkenaan yang berhajat melakukan upacara sembahyang serta menunaikan nazar dan hajat keagamaan dapat melaksanakannya dalam keadaan selamat tanpa perlu bersesak dengan orang ramai pada hari Thaipusam nanti.
“Tahun lepas kita bawa mereka menggunakan tenaga manusia dengan mendaki tangga, tetapi tahun ini, atas faktor keselamatan kita sediakan empat kenderaan pacuan empat roda dengan dibantu 40 sukarelawan membawa 60 warga emas dan OKU ke kuil itu hari ini,” katanya.
Beliau berkata langkah berkenaan bertujuan mengelakkan risiko kecederaan akibat penggunaan tangga yang curam khususnya kepada warga emas dan pesakit kurang upaya, di samping mengurangkan pendedahan kepada penyakit berjangkit seperti influenza serta penyakit berkaitan pernafasan.
Seorang warga emas, R. Punithavathi, 73, berterima kasih kepada LWHPP atas keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Wanita itu berkata dia membawa suami, K.Muniandy, 73, yang berkerusi roda selepas kaki kiri dipotong hingga paras paha akibat kemalangan enam tahun lepas.
“Kami hanya tinggal berdua di rumah, jadi memang susah nak bawa suami ke sini memandangkan saya pun sudah tua dan kurang sihat. Hari ini, hajat suami untuk naik berdoa di kuil tercapai dan saya harap kami berdua diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
