AM

CTS SEMAKIN KERAP DIKESAN DALAM KALANGAN PEKERJA MALAYSIA

05/01/2026 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Sindrom Carpal Tunnel (CTS), iaitu keadaan yang disebabkan oleh tekanan pada saraf median di pergelangan tangan, semakin kerap dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang bekerja.

Bagaimanapun, ramai masih mengabaikan gejala awal dan hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan menjadi lebih serius serta sukar dirawat.

CTS boleh menyebabkan rasa sengal, kebas dan lemah pada tangan, sekali gus menjejaskan aktiviti harian serta kualiti hidup pesakit.

Pakar Perunding Tangan dan Pembedahan Mikro, Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway, Dr Mooi Sung Siang berkata peningkatan kes CTS berkait rapat dengan amalan kerja moden yang memerlukan pergelangan tangan berada dalam posisi membengkok atau lurus untuk tempoh yang lama.

“Postur pergelangan tangan yang berpanjangan, seperti yang lazim dalam kalangan pekerja pejabat dan pengguna komputer, meningkatkan tekanan dalam terowong karpal dan boleh memampatkan saraf median sehingga menyebabkan CTS.

“Namun, keadaan ini bukan hanya menjejaskan pekerja pejabat. Pemuzik, pengendali peralatan bergetar serta individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau wanita hamil juga berisiko,” katanya kepada Bernama.

Dari segi klinikal, Dr Mooi menjelaskan CTS diklasifikasikan kepada tiga tahap keterukan berdasarkan kriteria diagnostik elektrofisiologi, iaitu ringan, sederhana dan teruk.

Menurutnya, CTS ringan biasanya melibatkan kebas yang berlaku sekali-sekala. Kes sederhana pula menunjukkan gejala yang lebih kerap disertai rasa sakit, manakala CTS teruk boleh menyebabkan gejala berterusan serta pengecilan otot tangan.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa CTS boleh pulih sendiri tanpa rawatan.

“CTS yang tidak dirawat boleh menyebabkan kesakitan berpanjangan, gangguan kemahiran motor halus, masalah tidur dan dalam kes yang teruk, kerosakan saraf kekal yang berpotensi menjejaskan pekerjaan serta kualiti hidup,” katanya.

Dr Mooi berkata diagnosis CTS lazimnya dibuat menerusi penilaian klinikal oleh pengamal perubatan, termasuk pemeriksaan fizikal dan, jika perlu, ujian lanjut seperti kajian pengaliran saraf.

Beliau berkata kaedah pengimejan seperti ultrabunyi atau pengimejan resonans magnetik (MRI) kadangkala digunakan untuk menilai punca struktur yang menyumbang kepada tekanan saraf, termasuk sista ganglion dan gout.

Katanya rawatan bukan pembedahan merangkumi penggunaan bidai pergelangan tangan, pengubahsuaian aktiviti, ubat-ubatan dan fisioterapi bagi mengurangkan tekanan pada saraf. Pembedahan pula dipertimbangkan sekiranya gejala berterusan atau pengecilan otot berlaku.

Pendekatan pembedahan merangkumi kaedah terbuka dan invasif minimum. Walaupun pemilihan kaedah bergantung kepada faktor klinikal serta keadaan pesakit, teknik invasif minimum menggunakan insisi yang lebih kecil dan mungkin menawarkan pengalaman pemulihan yang berbeza bagi sesetengah individu.

Dr Mooi menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan gejala berterusan pada tangan dan segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.

“Dapatkan nasihat perubatan dengan segera bagi mengelakkan kerosakan saraf kekal. Langkah mudah seperti melaraskan posisi pergelangan tangan dan mengambil rehat secara berkala boleh membantu mengurangkan tekanan sementara menunggu rawatan profesional,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan