KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Glomac Bhd melupuskan dua bidang tanah kosong pegangan pajakan di Puchong kepada Sunway Kiara Sdn Bhd pada harga RM97.30 juta.
Dalam makluman kepda Bursa Malaysia hari ini, Glomac berkata anak syarikatnya, Glomac AI Batha Sdn Bhd telah memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) berasingan dengan Sunway Kiara bagi pelupusan dua bidang tanah iaitu Plot 3 dan Plot 4.
Sunway Kiara ialah anak syarikat milik penuh Sunway City Sdn Bhd, iaitu sebahagian daripada Kumpulan Sunway.
Glomac berkata pertimbangan pelupusan itu ditentukan berdasarkan kesediaan pembeli dan penjual serta mewakili premium sebanyak RM19.12 juta berbanding nilai buku bersih gabungan hartanah sebanyak RM78.18 juta setakat 30 April 2025.
“Pertimbangan pelupusan, walaupun di bawah penilaian pasaran, dianggap munasabah memandangkan kredibiliti kewangan pembeli dan faedah strategik kepada syarikat serta anak syarikatnya, termasuk pembayaran balik pinjaman dan penjimatan kos faedah,” katanya.
Menurut Glomac, cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada kumpulan tersebut untuk memanfaatkan nilai hartanahnya, selain membolehkan syarikat untuk menggunakan hasil itu untuk membayar balik pinjaman sedia ada dan mengurangkan perbelanjaan faedah berterusan.
“Tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka dan bergantung kepada SPA yang dimuktamadkan, lembaga syarikat menjangkakan cadangan pelupusan itu diselesaikan menjelang suku ketiga 2026 bagi Plot 3 dan suku ketiga 2027 bagi Plot 4,” katanya.
Glomac berkata daripada jumlah hasil RM97.30 juta itu, sebanyak RM62.21 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman sedia ada dan baki RM35.09 juta bagi modal kerja.
Kumpulan itu menambah bahawa cadangan pelupusan itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham yang besar, kerana tiada saham biasa baharu akan diterbitkan.
-- BERNAMA
